Pemuda PAS : Kerja Nakal Umno, Perkasa Tak Akan Gugat BERSIH 2.0

KUALA LUMPUR, 16 Jun — Pemuda PAS menegaskan langkah pihaknya mahu memobilisasi kebangkitan rakyat bagi mendesak diadakan sistem demokrasi adil dan pilihan raya telus tidak akan terjejas sama sekali semata-mata kerana tindakan “nakal pihak” Umno dan Perkasa.

“Biar 1,000 laporan polis yang mereka lakukan, mereka tidak mungkin mampu memadam semangat anak muda yang menuntut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi negara ini, justeru keadilan dan ketelusan tersebut juga menjadi sebahagian daripada tuntutan Islam,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hasan (gambar).

Perkasa merancang mengadakan himpunan balas pada hari yang sama dipilih oleh Bersih 2.0 manakala Umno pula mendakwa perhimpunan itu akan mencetuskan huru-hara.

Lebih 300 laporan polis dikatakan telah dibuat di seluruh negara mengenai himpunan itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Nasrudin berkata, Bersih 2.0 adalah manifestasi kebangkitan anak muda yang mula bosan dan kecewa dengan sikap kerajaan Umno dan BN mempermainkan rakyat dan mempersenda sistem demokrasi.

Katanya, kepincangan demokrasi ala Malaysia ini masih ketara, apabila pihak Pakatan Rakyat terus dikekang daripada mendapatkan hak yang sama untuk akses dengan media sedang BN sepenuhnya memanipulasi media arus perdana untuk memberi maklumat satu hala atau sebelah pihak kepada rakyat.

“Kementerian Dalam Negeri gagal meluluskan permohonan permit bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hata Wahari menerbitkan akhbar harian Utusan Rakyat.

“Sehingga kini hasrat Dewan Pemuda PAS Malaysia mahu melihat lahirnya sebuah akhbar harian, Purnama yang dimohon permitnya lebih sedekad yang lalu masih tidak kesampaian,” katanya sambil menambah, “begitulah nasib yang menimpa Harakah, Suara Keadilan dan Rocket.”

“Bukan sahaja tidak dibenarkan terbit secara harian, ia terhad untuk ahli sahaja dan terus menerima tekanan dari pelbagai sudut,” kata Nasrudin lagi.

Beliau seterusnya memberitahu undi pos pula akan terus menjadi  tali hayat BN agar mereka terus berkuasa dan mampu melangsungkan tradisi “membelasah” rakyat dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Justeru kata Nasrudin, sebahagian mereka menempelak hasrat Bersih 2.0 kononnya tidak lagi relevan kerana Pakatan Rakyat telah memenangi empat negeri dan hampir menguasai keseluruhan kerusi di Wilayah Persekutuan.

“Menang di empat negeri bukan bermakna kami telah berpuas hati dengan tahap kebersihan sistem pengendalian pilihan raya dalam negara ini.

“Saya percaya, jika pilihan raya benar- benar dikendalikan sebersih-bersihnya dari sebarang manipulasi dan sistem demokrasi dilangsungkan dengan telus dan adil, Pakatan Rakyat mampu menang sekurang-kurangnya di lapan negeri pada pilihan raya umum 2008, malah berkemungkinan besar mampu memperoleh majoriti mudah bagi menguasai Parlimen.

“Antara kepincangan demokrasi yang diamalkan dalam negara kita Malaysia ialah tindakan mereka yang mahu menghalang hak rakyat berhimpun secara aman seperti Himpunan Bersih 2.0,” katanya.

Nasrudin menambah setelah mendengar janji daripada penganjur Bersih 2.0 bahawa ia akan dilangsungkan secara aman, mereka masih mengugut rakyat agar tidak menyertai himpunan tersebut.

“Selayaknya pihak berkuasa mengambil langkah mengawal Himpunan Bersih 2.0  sebagaimana mereka boleh mengawal himpunan dan perarakan puluhan ribu manusia pada hari sambutan Hari Kemerdekaan, Malam Citrawarna dan sebagainya,” katanya.

Tambah Nasrudin, pihak berkuasa juga sayugianya menghalang hasrat pihak-pihak lain selain Bersih 2.0 yang terlebih dahulu telah mengisytiharkan hasrat menganjurkan himpunan pada hari yang sama dan di tempat yang sama kerana ia adalah satu bentuk provokasi yang boleh mencetus ketidaktenteraman suasana himpunan tersebut.

“Saya hairan kenapa Perkasa atau lainnya mahu mengadakan himpunan pada hari yang sama dan tempat yang sama?

“Ertinya merekalah yang mahu mencetus provokasi dan suasana tidak aman bukan pihak Bersih 2.0,” katanya.

Malah kata beliau, andai mereka mahu menduga pengaruh, mereka boleh menganjurkan himpunan serupa pada 10 Julai iaitu sehari selepas Bersih 2.0 atau pada 8 Julai iaitu sehari sebelumnya. “Kenapa mereka begitu terdesak mahu mengadakan himpunan mereka pada hari yang sama?

“Mereka marah rakyat mahu sertai  Bersih 2.0 kerana himpunan itu kononnya demonstrasi jalanan yang sia- sia, tetapi mereka juga mahu menganjurkan himpunan untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap Bersih 2.0,” katanya.

Sehubungan itu katanya, benarkan dahulu rakyat menyertai Bersih 2.0 pada 9 Julai untuk membantah sistem pengendalian demokrasi dan pilihan raya yang pincang dalam negara ini.

“Maka keesokan harinya, bolehlah mereka pula berhimpun untuk membantah himpunan Bersih 2.0 jika mereka tidak berpuas hati atau kiranya mereka kurang sabar, boleh sahaja mereka berhimpun pada 8 Julai untuk melahirkan bantahan mereka dan benarkan Bersih 2.0 berlangsung dengan aman tanpa sebarang provokasi pada 9 Julai 2011.

“Apakah kerajaan Umno dan BN perlu diajar sedemikian rupa erti demokrasi?” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: