Negara Berkebajikan : PAS tubuh panel pelaksana, rangka Buku Hijau

KUALA LUMPUR, 17 Jun — PAS menubuhkan satu panel khas pelaksana yang akan memperincikan konsep negara berkebajikan — dalam bentuk “Buku Hijau” — bagi menjelaskan kepada rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Pembentukan panel khas itu diputuskan pada satu mesyuarat parti itu di sini petang semalam.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata panel itu, yang dibentuk dalam dua minggu selepas muktamar parti tersebut, akan memperincikan konsep negara berkebajikan untuk dijelaskan kepada rakyat dalam waktu terdekat.

Panel khas itu akan mengadakan mesyuarat pertama pada Isnin ini untuk memperincikan konsep negara berkebajikan, yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang pada 3 Jun lalu.

Ucapan dasar itu bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian akan mengetuai panel itu.

Ia turut dianggotai oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dua ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan  Idris Ahmad, Pengerusi Institut Kajian Polisi PAS Dr Zuhdi Marzuki dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Dr Siti Mariah Mahmud.

“(Peranan) panel khas ini berkuat kuasa hari ini,” katanya ketika dihubungi.

“Melalui panel ini, kami akan memperincikan konsep negara berkebajikan dengan mengemukakan ciri-ciri sebuah negara berkebajikan dan kita akan dokumenkan konsep ini,” kata Salahuddin.

“Kita akan dokumenkan konsep ini dalam bentuk buku dan Buku Hijau ini akan diedarkan di seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya.

Meskipun ini bukan kali pertama PAS mengetengahkan konsep negara kebajikan, tetapi ia diserang hebat oleh Umno.

Manifesto pilihan raya umum 2008 PAS juga bersandarkan tema negara kebajikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata,  keputusan pemilihan PAS yang memihak kepada golongan profesional adalah kemenangan kepada DAP kerana parti itu berjaya “mempengaruhi” parti Islam itu mengubah dasar memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Selain itu dua bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengkritik konsep itu.

Presiden PAS, Hj Hadi pada sidang media yang diadakan hujung minggu lalu berkata negara berkebajikan boleh dibuktikan sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat untuk memerintah negara.

Selain itu, Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, beliau akan mengeluarkan sebuah buku tentang negara berkebajikan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: