Archive for October, 2011

Kedatangan Cikgu Mala Sudirman (bekas Calon PRK Dun Tenang) Ke Kuala Kedah

 

Berikut sekitar program-program bersama Cikgu Mala di kawasan Kuala Kedah yang berlangsung pada 29 Oktober 2011 (Sabtu) yang lalu :

  • Sepetang bersama Cikgu Mala (AJK DMP Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan DMP Pusat) di Dun Pengkalan Kundur

 

  • Program halaqah Yasin dan kuliah motivasi bersama Cikgu Normala Sudirman di surau Batu 6, Kuala Kedah di Dun Kubang Rotan.

Gambar sebahagian muslimat yang hadir mendengar motivasi

  • CERAMAH bersama CIKGU MALA (bekas calon DUN Tenang), UST RIDZWAN ABU BAKAR (Ketua Penerangan Pas Kuala Kedah) dan MOHD NASIR MUSTAFA (Adun Kubang Rotan) jam 9 malam, bertempat di surau Hj Sharif Bt 4, Kg Teluk Chengai, Jalan Kuala Kedah


Ketua Pemuda Kuala Kedah, Sdr Azizi Abdullah dan isteri

bergambar bersama Cikgu Mala dan suami, selepas ceramah

DPP Kawasan Kuala Kedah mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang telah bersungguh-sungguh, dalam memastikan program-program jamaah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Tahniah!!


Advertisements

Bekerja Seperti Pilihanraya Minggu Ini

GOMBAK, 30 Okt: Ijtima’ Tarbawi 2011, Dewan Pemuda PAS Pusat yang berakhir petang tadi melabuhkan tirainya dengan satu komitmen untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya.

Bercakap selepas menyampaikan ucapan penutup petang tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan berkata, anggota dewan itu hari ini pulang dengan semangat berkobar-kobar untuk berkerja seperti ‘pilihan raya minggu ini’.

“Apa yang kita dapat dari ijtimak ini akan diteruskan bila balik ke kawasan masing-masing.

“Jentera pemuda akan fokuskan gerak kerja pilihan raya seolah-olah pilihan raya akan dilaksanakan minggu ini. Kita kena ‘all out’,” katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, kira-kira 6,000 peserta dari seluruh negeri hadir ke ijtimak kali ini.

Mereka berkampung di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad selama tiga hari sejak Jumaat lalu dengan pelbagai pengisian tarbiah diatur penganjur.

Selain pemimpin utama PAS, peserta juga didedahkan dengan pengalaman jemaah Islam luar negara seperti oleh wakil Hamas dari Palestin dan wakil Ikhwanul Muslimin dari Mesir.

Menyifatkan ianya sebagai mencapai sasaran, Nasruddin berkata ianya akan dijadikan acara tahunan dewan itu.

“Ijtimak ini adalah untuk membentuk pelapis di kalangan pemuda yang utuh prinsip perjuangan Islamnya.

“Kita anggarkan cecah 6,000 yang hadir kali ini sekaligus mencatat sejarah paling ramai berbanding tahun lepas,” katanya.

Untuk rekod, Ijtimak Tarbawi kali pertama tahun lalu diadakan di Terengganu.

Talian Hayat SPR-BN Untuk Menambah Undi BN

Selepas memberi kad pengenalan kepada berpuluh ribu warga asing untuk membolehkan mereka mengundi BN dalam PRU, kini BN merancang satu lagi strategi baru iaitu menambahkan undi pos dalam pelbagai sektor.

IPOH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang membenarkan pemilih yang berkhidmat dalam beberapa sektor pekerjaan seperti media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang sebelum ini turut menilai beberapa cadangan lain seperti pengunaan dakwat kekal atau biometrik.

“Jika cadangan dipersetujui, rang undang-undang pindaan peraturan dan undang-undang berkaitan termasuk membolehkan pengundian awal akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program taklimat PRU-13 kepada 24 pegawai pengurus dan 105 penolong pegawai pengurus pilihan raya negeri ini di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, jika sempat kesemua cadangan itu boleh dilaksanakan pada PRU-13.

“Kita faham ada beberapa kumpulan media yang tidak dapat pergi mengundi kerana tugas, jadi adakah kita nak biarkan begini? Oleh itu, kita fikir patut buat perubahan supaya mereka ini mengundi pos atau mengundi awal dan cadangan ini akan dibawa ke dalam jawatankuasa berkenaan nanti.

“Sebenarnya, bukan saja media tetapi juga petugas di pesawat seperti pramugari dan pramugara, jururawat dan petugas di pelantar minyak,” katanya.

Beliau berkata, SPR sedang menjalankan kajian berkenaan cadangan-cadangan itu sama ada sesuai dilaksanakan tetapi ia bergantung kepada pindaan peraturan dan undang-undang.
-[Kosmo]

Isu PATI dan Daftar Pemilih

Oleh : Anak Kola Kedah

Ancaman kepada rakyat dan negara

Sudah lama mahu saya perkatakan tentang isu ini. Sekarang ini, jika kita keluar ke mana-mana bandar atau pekan, pasti akan terserempak dengan warga asing yang bebas seperti mana warganegara kita juga. Malah di sesetengah tempat, di kampung-kampung juga wujud kelompok warga asing ataupun juga dikenali sebagai pendatang tanpa izin (PATI) ini.

Dengan masalah sosial yang semakin meningkat, jenayah membunuh, merompak, rogol dan ragut yang semakin berleluasa, tidak dinafikan lagi warga asing antara penyumbang utama segala masalah sosial dan gejala tidak sihat yang berlaku di negara kita.

Namun, kerakusan pihak kerajaan terbukti melalui projek 6P yang kononnya untuk memudahkan pengurusan berkaitan permit kerja, pengesanan dan proses pemutihan warga asing dan pendatang tanpa izin di dalam negara kita. Hasilnya, berjuta warga asing telah didaftarkan. Malah tempoh projek tersebut dilanjutkan bila jumlah sasaran kononnya tidak tercapai. Adakah kerajaan sengaja menjual nilai warganegara secara mudah kepada mereka? Ingin menjual negarakah jika begitu sekali tindakan kerajaan?

Kita tidak mahu suatu hari nanti, mereka semakin membanjiri negara kita, sehingga populasi jumlah mereka semakin bertambah dan bertambah. Jumlah mereka kini pun mencecah jutaan orang. Gaji mereka sendiri ada yang lebih tinggi dari gaji pekerja tempatan yang bekerja di sektor swasta. Malah, ada juga dari kalangan mereka yang sudah menjadi majikan kepada rakyat tempatan sendiri.

Mereka datang dari dahulu lagi,bukan sebab agen semata-mata. Sekarang kita dapat lihat, mereka pula yang menjadi agen, membuat kerja persendirian. Membuka kedai mencuci kereta, restoran dan kedai runcit. Jadi, sebenarnya adakah benar kita perlukan mereka sebagai buruh dan pembantu rumah? Sedangkan mereka boleh bekerja secara persendirian, bukan lagi sekadar mengisi kekurangan tenaga buruh dalam negara seperti yang digembar-gemburkan?

Pada saya, kita jangan risau seandainya tidak ada orang yang mahu menjadi pembantu rumah, kerana jika benar kita mahu mendidik anak-anak kita, kita sendiri ataupun orang tempatan juga mampu mengambil tanggungjawab tersebut. Mahukah kita anak-anak dididik dengan cara dan gaya hidup warga asing tersebut?

Realitinya, kita sahaja yang takut kononnya nanti tidak ada orang yang boleh membantu kita, tidak kira dalam sektor apa sekalipun, padahal kita tidaklah sampai tahap darurat tanpa kehadiran mereka. Ketiadaan mereka lebih baik dari kebanjiran mereka, pada pandangan saya.

Ancaman Buat Pakatan Rakyat

Sepanjang tahun 2010 sahaja, peningkatan pendaftaran pengundi baru meningkat mendadak, iaitu sehingga mencapai 300%. Nazri Aziz menjawab bagi pihak kerajaan, iaitu pada tahun 2010 sebanyak 820 156 orang telah didaftarkan sebagai pengundi baru berbanding 276 621 pada tahun 2009.

Pada akhir Julai yang lalu, situasi di Kedah setelah dipamerkan senarai daftar pengundi baru pada bulan April, Mei dan Jun iaitu melalui Daftar Pemilih Tetap 2 (DPT2), didapati terdapat penambahan 25000 orang pengundi berdaftar dan berlaku pindah masuk sebanyak 4000 orang. Sedangkan PAS hanya berjaya mendaftarkan sebanyak 3500 orang, iaitu hampir sama jumlahnya seperti DPT1 sebelum ini.

Sekarang kita amat risau dan khuatir, dengan penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan seperti SPR, JPN, KDN, Imigresen dan lain-lain, dalam menjayakan agenda pihak-pihak tertentu yang bersembunyi di sebalik agensi-agensi yang hanya sebagai boneka untuk memenangkan Barisan Nasional.

Seminggu sahaja tempoh untuk bantahan senarai nama pengundi baru yang dipamerkan, kadang-kadang ianya dipandang mudah oleh pihak Pakatan Rakyat. Bukan apa, sumber dalaman berjaya mendapati di sesetengah kawasan memang wujud warga asing yang telah dijadikan pengundi berdaftar secara diam-diam tanpa disedari penduduk tempatan sendiri.

Pernah di Langkawi, 79 orang warga Myanmar telah dibantah oleh PAS Langkawi. Di Perak dan Kelantan juga dilaporkan wujud usaha-usaha memasukkan warga asing sebagai pengundi. Malah ada antara mereka yang didaftarkan sebagai pengundi pos. Tahniah diucapkan bagi mereka yang telah melakukan kerja-kerja penelitian dan culaan pengundi baru di kawasan masing-masing. Namun, bagi mereka yang tidak membuat kerja, barangkali sudah ribuan warga asing sudah didaftarkan sebagai pengundi di kawasan anda, tanpa anda sedari.

Jika di Terengganu pada tahun PAS memerintah di sana sepenggal pada PRU 1999, selepas itu BN telah merampas kembali tampuk pemerintahan negeri dengan strategi licik, walaupun terdapat kawasan yang dimenangi PAS dengan majoriti ribuan undi pada PRU sebelumnya.

Semua jentera PAS dan PR perlu bersedia. Di Kedah, bilik gerakan PAS sama ada di UPU mahupun MTD perlu melakukan gerak kerja kemaskini data dan culaan agar dapat mengesan pengundi kawasan yang dipindah keluar, atau pengundi luar dibawa masuk ke kawasan, ataupun warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi baru.

Jangkaan dalam PRU ke-13 akan datang ialah masalah pengundi klon. Masalah ini lebih susah untuk kita tangani, kerana SPR dan JPN boleh berkomplot untuk menjayakannya. Contohnya, MyKad boleh dimiliki warga asing begitu mudah. Ada PATI yang baru menetap di Malaysia 3 bulan contohnya, boleh dimanipulasi pihak Imigresen dan JPN, dengan merekodkan maklumat PATI tersebut sudah 33 tahun menetap dan layak menjadi warganegara tetap, malah permohonannya diluluskan untuk menjadi pengundi berdaftar.

Sebelum ini, Malaysiakini dan PAS berjaya mendedahkan kes Mismah, kita sendiri dapat lihat, ramai lagi pengundi-pengundi yang diragui dengan menggunakan kod 71 di dalam kad pengenalan mereka, namun selepas pendedahan, rekod-rekod tersebut dikemaskini ataupun ada yang dihilangkan dari rekod.

Tidak mustahil, dalam PRU 13 akan datang, apabila kita datang lewat untuk mengundi, kita sudah tidak dapat mengundi kerana nama kita sudah dipotong, bererti ada orang lain yang sudah mengundi menggunakan kad pengenalan klon dan sebagainya. Ada pula yang akan terjadi, nama kita akan dipindahkan ke kawasan lain tanpa kita ketahui.

Apatah lagi jika diketahui kita antara penyokong Pakatan Rakyat, boleh sahaja nama kita dihilangkan, atau dipindahkan ke kawasan lain yang mungkin undian kita tidak memberi kesan kepada keputusan undi di kawasan tersebut. Tidak susah jika komplot ini berjaya, begitu mudah ‘jenayah terancang’ ini akan berhasil dalam diam. Pemindahan pengundi sekarang ini, tidak memerlukan mengisi boring SPR dan menukar alamat di JPN pun!

Ahli-ahli dan jentera Pakatan Rakyat terutama PAS di Kedah, perlu menyemak dan menyimpan rekod-rekod Daftar Pemilih. Ia penting sebagai bukti kemudian hari. Ada kes yang telah dikesan dan dibuat bantahan, namun SPR lebih cekap dengan memperbetulkan segera maklumat dalam simpanan mereka. Tanpa bukti kukuh seperti rekod Daftar Pemilih tersebut, kita akan kalah sebelum berjuang di medan PRU.

Cadangan dan saranan, pihak Pakatan Rakyat perlu membeli Daftar Pemilih, kemudian muat turun secara online data-data tersebut. Cetak Daftar Pemilih tersebut untuk diedarkan kepada penyokong PR untuk membuat semakan. Contoh, jika penyokong PR menyimpan Daftar Pemilih yang berakhir 31 Disember 2009 dan 2010, kemudian pada hari pengundian bandingkan dengan Daftar Pemilih yang dikeluarkan pada hari mengundi.

Ketika itu, jika terdapat pengundi baru Myanmar, Indonesia atau Nepal, kita sudah mempunyai bukti kukuh untuk membuat bantahan. Jika tiada bukti, kita mahu membuat laporan polis pun, kita tidak mampu mengemukakan bukti sebagai sandaran dalam kes tersebut.

Akhir sekali, suka saya mengutarakan Pakatan Rakyat amat perlu membuat tawaran baru yang berkesan dalam manifesto PRU ke-13 akan datang. Jika dulu, tawaran seperti “hari ini menang, esok hari minyak akan turun!”, namun kini PR perlu menawarkan sesuatu yang memberi impak sebegitu kepada rakyat. Tawaran kepada golongan muda, dalam Bajet 2012 PR juga amat mengecewakan. Ternyata amat mengecewakan.

Gerak kerja kempen kini perlu agresif, bukan bermakna menyerang UMNO. Mungkin perlu ‘menyerang’ secara fokus kepada agensi-agensi kerajaan yang membantu pendaftaran PATI sebagai warganegara dan pengundi. Isu ini perlu dicanang berterusan, di samping isu-isu besar yang lain. Undi BN, PATI Naik!! Undi PR, PATI keluar! Ataupun PR boleh tawarkan harga barang keperluan, semuanya turun jika PR menang.

Isu PATI ataupun warga asing hanyalah satu isu daripada banyak lagi isu-isu yang perlu ditangani segera! Jangkaan saya, jika SPR masih belum membersihkan senarai pengundi, BN tetap akan menang PRU ke-13 hatta dengan majoriti mudah. Namun, adakah ketika itu kemenangan BN adalah kemenangan yang ‘legitimate’? Pakatan Rakyat tidak boleh hanya berdiam diri dan melihat!!

 

Boleh juga didapati di laman berikut :

Kedahlanie.info

Penting!! Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011

1. Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga 2011 (Julai hingga September), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima sebanyak 264,404 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 52,215 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR. 

2. Selaras dengan kehendak Peraturan 13(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Ketiga 2011 akan dipamerkan mulai 27 Oktober hingga 2 November 2011 di 987 tempat pameran di seluruh Negara seperti berikut:

2.1 Pejabat Pilihan Raya Negeri – 15 tempat
2.2 Pejabat Pos Berkomputer – 477 tempat
2.3 Kompleks/Pejabat Kerajaan – 87 tempat
2.4 Pejabat Daerah/Pejabat Tanah – 140 tempat
2.5 Majlis Daerah/Perbandaran – 48 tempat
2.6 Dewan Serbaguna/ Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan – 190 tempat
2.7 Lain-lain tempat – 31 tempat

3. Sehubungan dengan itu, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi adalah dinasihatkan supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 yang dipamerkan itu. Dalam hal ini, mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B. Borang tuntutan tersebut hendaklah diserahkan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu dipamerkan.

4. Bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C. Borang bantahan itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu dipamerkan.

Nasihat SPR bagi mereka yang ingin membuat bantahan, pastikan bantahan itu adalah berdasarkan kepada alasan yang kukuh dan tidak dibuat secara melulu.

5. Selain daripada mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih. Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera/Polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya.

6. Dalam tempoh pameran ini juga, SPR akan mempamerkan senarai 42,051 nama pemilih yang rekodnya meragukan bukan untuk tujuan tuntutan atau bantahan. Sebaliknya untuk tujuan pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamerkan itu. Jika nama pemilih itu ada dalam senarai berkenaan, maka beliau perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengenalpasti masalah berhubung rekod nombor kad pengenalannya sebelum merujuk kepada SPR untuk urusan berkaitan dengan pendaftaran pemilihnya.

7. Jika mana-mana pihak ada apa-apa pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, sila hubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-8885 6565 atau melalui Faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di http://www.spr.gov.my untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011.

Sekian, terima kasih

(SABRI BIN SAID)
Pegawai Perhubungan Awam
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Tarikh: .25 Oktober 2011

Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi SUKU KETIGA TAHUN 2011 mengikut setiap negeri. Tarikh pameran bermula dari 27 Oktober 2011 hingga 2 November 2011. Segala tuntutan dan bantahan yang ingin dibuat perlu mengikut Prosedur Membuat Tuntutan Dan Bantahan yang ditetapkan.

SEMAKAN RANG DPT SUKU KE-3 2011
(MENGGUNAKAN NO : KP / TENTERA / POLIS)

http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/JOHOR.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/KEDAH.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/KELANTAN.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/MELAKA.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/NS.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PAHANG.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PENANG.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PERAK.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PERLIS.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/SELANGOR.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/TERENGGANU.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/SABAH.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/SARAWAK.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/KL.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PUTRAJAYA.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/LABUAN.zip

 

p/s : SEMAK SEGERA SENARAI DAFTAR PEMILIH DI KAWASAN MASING-MASING SEBELUM TERLAMBAT!!

Laporan Audit: Hasil Kedah Meningkat 23.9%, Surplus Sebanyak RM22.50 juta

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) amat berbangga dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2010.

Ketua Penerangannya, Mohd Nasir Zakaria berkata, walaupun Ketua Audit Negara mengatakan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah memuaskan, namun bagi DPPNK, dengan usia ‘setahun jagung’ iaitu baru tiga tahun memerintah, pencapaian tersebut adalah sangat cemerlang.

Katanya, berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan; pengalaman pentadbiran, kewangan, penyaluran peruntukan kerajaan pusat yang tidak melalui negeri, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak terus melangkah gagah.

“DPPNK mempunyai alasan kukuh untuk terus mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Padang Terap menggariskan tujuh sebab dan berbangga dengan kejayaan itu.

Pertama, katanya Kerajaan Negeri Kedah telah mengalami peningkatan hasil sejumlah 23.9 peratus atau RM87.94 juta pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus RM2.55 juta atau RM 0.6 peratus.

Hasil kerajaan negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta berbanding 2009 sebanyak RM368.27 juta.

“Pencapaian ini adalah yang terbaik di dalam masa 5 tahun,” katanya lagi.

Kedua, ujarnya Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan surplus atau lebihan pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta yang mana peningkatan itu sangat ketara dan sangat membanggakan.

Katanya, ia adalah defisit tertinggi dalam masa 5 tahun dan merupakan surplus kali kedua dalam tempoh tersebut, berbanding dengan defisit tahun 2009 yang berjumlah RM62.89 juta, ia menjadikan peningkatan sejumlah RM85.39 juta iaitu sebanyak 135.8 peratus.

Selain itu, katanya Ketua Audit Negara juga telah memperakui pengurusan kewangan di Jabatan/Agensi Negeri telah bertambah baik berbanding 2009.

Menurutnya, pihak Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 17 Jabatan/Agensi Negeri.

Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada para pegawai kerajaan negeri.

Beliau menambah, laporan itu telah memperakui peningkatan penerimaan hasil cukai tanah sebanyak RM18.69 juta iaitu peningkatan sebanyak 21.9 peratus yang mana kerajaan negeri telah berjaya mengutip RM104.06 juta berbanding 2009 hanya RM85.37 juta.

“Walaupun dasar kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang menurunkan cukai sebanyak 25 hingga 75 peratus di awal usia pemerintahan, namun bagi DPPNK telah berlaku kecekapan di dalam kutipan hasil tanah walaupun berlaku penurunan selama dua tahun berturut-turut. Kutipan ini adalah yang kedua tertinggi di dalam tempoh 5 tahun,” ujarnya lagi

Kelima, katanya peningkatan ketara iaitu 125.2 peratus atau RM19.71 juta juga berlaku dalam pungutan tunggakan cukai tanah.

Menurutnya, hasil kutipan berjumlah RM35.45 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM15.74 juta di mana kutipan itu adalah tertinggi dalam masa 5 tahun.

Sekali lagi, ujarnya premium hutan berjaya ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri Kedah di mana peningkatan sejumlah 46.9 peratus atau RM15.49 juta, berbanding tahun 2009 sebanyak RM33.05 juta, kerajaan berjaya memungut RM48.54 juta.

Jelasnya, jumlah itu juga adalah yang tertinggi dalam masa 5 tahun.

“Sebagai catatan juga peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2007, hampir 400 peratus,” katanya lagi.

Tambahnya, yang ketujuh ialah kerajaan negeri juga berjaya membuat kutipan premium tanah tertinggi dalam masa 5 tahun terakhir, berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak RM26.63 juta, sebanyak RM58.12 juta atau peningkatan sebanyak 118.3 peratus.

Katanya, DPPNK berpandangan bahawa dengan laporan itu, Ketua Audit Negara terus memperakui keupayaan pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Ini membuktikan secara fakta bahawa segala tohmahan bahkan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan yang berkepentingan adalah tidak berasas,” ujarnya.

Tegasnya, DPPNK akan terus bekerja keras bagi terus mempertahankan dan mengajak seluruh rakyat terus menyokong dan mendokong pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Di sebalik segala kepincangan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional, DPPNK menyeru seluruh rakyat Negeri Kedah untuk membuat perbandingan dan membuat pilihan yang tepat,” ujarnya lagi.

Selamat Berijtima’ Kepada Semua Pejuang Pas Kedah

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah ingin mengucapkan selamat berijtima’ kepada seluruh pimpinan dan ahli Pemuda Pas Malaysia dari setiap kawasan, terutamanya Pemuda-Pemuda PAS Kedah, yang akan menghadiri Ijtima’ Tarbawi Pemuda Pas Peringkat Kebangsaan 2011. Ijtima’ ini akan berlangsung di Kolej Universiti Zulkifli Muhamad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak dari 28-30 Oktober 2011.

Dengan tema, “Perkasakan Amal Tarbawi, Menangi Pilihanraya” cukup jelas target yang diletakkan oleh pimpinan jamaah. Semoga ijtima’ tahun ini dapat melahirkan pemuda-pemudi PAS yang lebih kuat tarbiyahnya, istiqomah dan thabat dalam perjuangan, dalam fasa kita akan menghadapi PRU ke-13 akan datang, untuk memenangkan Islam!!
SELAMAT BERIJTIMA’ BUAT SELURUH ANAK MUDA PAS KEDAH!!