Archive for December, 2011

Gambar Sekitar Program Gunting Rambut Percuma

Gambar-gambar sekitar program Jom Ke Sekolah, Gunting Rambut Percuma Anjuran DPP Kuala Kedah dengan kerjasama MKK Masjid Lama :

DPP Kuala Kedah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program tersebut!! Tahniah kepada semua!!

Gunting Rambut Percuma di Kuala Kedah

Sidang Media YB Mohd Nasir Mustafa Menjawab Fitnah RTM

Berikut adalah Sidang Media YB Mohd Nasir Mustafa, ADUN Kubang Rotan bagi menjawab fitnah  RTM dalam rancangan Titik Sentuhan di TV1 baru-baru ini, yang mana rancangan tersebut telah memfitnah dan sengaja memaparkan seolah-olah wakil rakyat Pakatan Rakyat dan Kerajaan Negeri Kedah, tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab yang sepatutnya, kepada penduduk Kg. Hilir, Kubang Rotan yang terletak di dalam kawasan Kuala Kedah.


 

Syabas diucapkan kepada YB Mohd Nasir, ADUN Kubang Rotan, yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah kerana cepat bertindak dan membidas segera laporan liar RTM yang membuat fitnah demi kepentingan pihak tertentu!! Tahniah juga diucapkan kepada kepimpinan PAS Kawasan Kuala Kedah dan DPP Kawasan Kuala Kedah, yang turut hadir dalam menjayakan sidang media tersebut. Diharapkan kita semua dapat membantu, dalam menjelaskan isu ini dengan sebaiknya kepada semua sedara mara, adik beradik dan rakyat Kedah umumnya. Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua!!

Persamaan, Perbezaan PRU-12 dan PRU-13

Oleh : Nazli Ibrahim

Adakah senario tsunami politik yang tercetus dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 pada 2008 lalu akan sekali lagi melanda politik tanah air dalam PRU-13 yang dijangka diadakan tahun depan?

Mungkinkah kali ini ‘swing’ pengundi akan kembali kepada Barisan Nasional (BN), menghayun pembangkang yang pertama kali berjaya menafikan kelebihan majoriti dua pertiga BN di parlimen serta menawan empat buah negeri lain selain mempertahankan Kelantan dalam PRU-12 lalu?

Secara kasarnya, kita boleh melihat beberapa persamaan dan perbezaan corak yang boleh dianggap penyebab terbentuknya gelombang tsunami politik 2008 lalu dengan situasi pra pilihan raya yang ada pada hari ini.

Rata-rata penganalisa politik bersetuju, antara faktor utama yang telah menyumbang kepada berlakunya tsunami politik dalam PRU-12 lalu adalah peningkatan harga barangan keperluan pengguna yang makin meningkatkan kos sara hidup masyarakat negara ini.

Kesan berantai dari kenaikan harga bahan api seperti petrol dan takri elektrik dikatakan penyebab peningkatan kos pengeluaran sesuatu produk dan menaikkan harga barangan di pasaran.

Selain itu, langkah kerajaan menguatkuasakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun depan dijangka akan menyebabkan rakyat negara ini terus berhadapan dengan peningkatan kos sara hidu melambung tinggi yang masih belum bernoktah.

Jika diteliti peningkatan kos sara hidup ketika sebelum berlakunya tsunami politik pada 2008 hingga ke hari ini masih lagi tidak berhenti setakat itu, malah berterusan meningkat naik secara mendadak dalam jangka masa yang amat pendek.

Keadaan ini masih tidak menunjukkan sebarang petanda kenaikan harga barangan pengguna ini telah mencapai paras statik.

Bagi kebanyakan pengguna, sekiranya harga barangan keperluan harian tidak turun pun, mungkin sedikit lega sekiranya ianya berada dalam kedudukan statik dalam satu jangkamasa yang panjang.

Kesimpulan dalam isu peningkatan kos sara hidup ini, jelas ianya tidak menunjukkan perbezaan antara pra PRU-12 lalu dengan pra PRU- 13 hari ini.

Keadaan ini akan mendorong pengundi yang memilih calon pembangkang dalam PRU-12 lalu atas faktor ini, sekali lagi memberikan sokongan mereka kepada pihak yang sama dalam PRU-13 nanti.

Islam Hadhari lawan 1Malaysia

Secara umumnya, majoriti masyarakat Islam negara ini boleh dianggap tiada masalah dalam penerimaan gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, gagasan ini dikatakan telah memberi impak negatif terhadap sokongan masyarakat bukan Islam terhadap kerajaan BN ketika PRU-12 lalu.

Hari ini mungkin menyedari kesilapan ini, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak cuba membetulkan kesilapan ini dengan memperkenalkan gagasan yang kontras dengan Islam Hadhari Abdullah iaitu gagasan Satu Malaysia.

Malangnya, berdasarkan keputusan-keputusan pilihan raya kecil dan PRU Negeri Sarawak lalu, gagasan tersebut masih tidak menunjukkan tanda-tanda mampu membawa pengundi bukan Melayu-Islam kembali memberikan sokongan kepada BN.

Dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas PRU-12 dan PRU Sarawak lalu menunjukkan sokongan pengundi masyarakat bukan Melayu -Islam, khasnya pengundi kaum Cina masih menyebelahi dan terus meningkat kepada calon Pakatan Rakyat.

Sekiranya imej PM sebagai kepala kerajaan diambil kira, ternyata imej Abdullah yang dikenali sebagai ‘Mr Clean’ jauh meninggalkan imej Najib yang terpalit dengan persepsi pelbagai skandal.

Ditambah pula dengan tindakan-tindakan isteri beliau yang banyak menimbulkan kontroversi yang turut menjejaskan imej beliau berbanding isteri Abdullah ketika menjawat jawatan PM.

Bagi pengundi yang mengutamakan imej bersih pemimpin dalam menentukan logo parti mana yang bakal dipangkahnya maka Najib berada dalam kedudukan lebih sukar berbanding Abdullah.

Ekonomi era Abdullah lawan era Najib

Dalam menguruskan hal ehwal ekonomi negara, Najib dengan program transformasinya dikatakan lebih bijak menguruskan ekonomi negara berbanding Abdullah.

Sehingga kini, melalui data yang dikeluarkan oleh agensi-agensi kerajaan dan dakwaan dari Najib sendiri memberitahu bahawa ekonomi negara berada di landasan yang betul dan berkembang  baik.

Sebaliknya data yang dikeluarkan oleh agensi berkecuali dalam negara dan agensi penyelidik ekonomi antarabangsa kerap kali menunjukkan angka-angka sebaliknya.

Malahan angka-angka pertumbuhan positif yang dipersembahkan oleh Najib dan agensi-agensi kerajaan kepada rakyat juga dianggap tidak memberi sebarang makna kepada rakyat terbanyak.

Kebanyakan anggota masyarakat negara ini juga kurang berminat untuk mengambil tahu tentang angka-angka ekonomi yang tidak berapa difahami, memeningkan dan mengelirukan ini.

Apatah lagi, perkembangan positif ekonomi negara yang digembar-gemburkan oleh Najib itu masih tidak menunjukkan sebarang tanda positif dalam kehidupan majoriti masyarakat negara ini.

Maka, sekali lagi meskipun Najib dikatakan lebih bijak menguruskan ekonomi berbanding Abdullah tetapi dalam isu ini keadaan masih tidak menyebelahi beliau.

Bajet beri faedah kepada rakyat?

Abdullah ketika memegang tampuk kuasa sebelum ini dikatakan kurang perihatin akan beban rakyat negara ini termasuk kakitangan awam apabila gagal memberikan manfaat pada tahap optima kepada rakyat terbanyak setiap kali bajet dibentangkan.

Selain dalam bajet-bajet yang dibentangkan beliau, keputusan beliau dan kabinetnya menaikkan harga petrol lebih 70 sen dalam satu kenaikan turut mencatat sejarah sebagai kenaikan paling tinggi harga petrol dalam sekali kenaikan.

Satu-satunya keputusan Abdullah yang diingati khususnya oleh kakitangan awam negara ini ialah mengadakan kenaikan tangga gaji baru kakitangan awam bermula 7.5 hingga 35 peratus bermula Julai 2007.

Najib pula, kecuali Bajet 2012 yang dibentangkan baru-baru ini, beliau turut dikatakan bersikap kurang perihatin, sama seperti Abdullah.

Malahan, meskipun tiada disebut dalam bajet tahunan, tindakan menarik subsidi dan perlaksanaan GST juga dikaitkan dengan sikap kurang perihatin terhadap golongan berpendapatan sederhana dan rendah negara ini.

Bagaimanapun dalam Bajet 2012 lalu, kerajaan di bawah Najib telah menunjukkan sikap yang berbeza dengan menghamburkan pelbagai manfaat untuk dinikmati rakyat negara ini sekali gus dikaitkan dengan bajet musim pilihan raya yang semakin hampir.

Apatah lagi peruntukan hadiah besar untuk rakyat dalam bajet tersebut telah menyaksikan belanjawan negara telah mengalami defisit atau disebut sebagai bajet hutang telah menyebabkan andaian ini semakin kuat.

Keadaan ini telah memberikan gambaran seolah-olah kerajaan terpaksa menghadiahkan sesuatu untuk rakyat sebelum pilihan raya diadakan atau dalam erti kata lain ‘gula-gula’ pilihan raya.

Lebih menghairankan, sebelum ini Najib pernah mendakwa kerajaan negara ini bakal menjadi muflis sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah berjimat cermat termasuk mengambil langkah memansuhkan subsidi untuk rakyat.

Bagaimanapun, langkah terbaru Najib ini meskipun dilihat terselindung muslihat di sebaliknya, sedikit sebanyak ia mampu memberikan kesan positif terhadap sokongan pengundi terhadap BN.

Cuma mungkin jumlah sokongan itu tidaklah sebanyak yang Najib harapkan ketika beliau memutuskan untuk menganugerahkan pelbagai hadiah untuk rakyat dalam bajet 2012 tersebut.

Rasuah era Abdullah lawan era Najib

Meskipun di era Abdullah yang dikenali dengan gelaran ‘Mr Clean’ turut dikaitkan dengan kontroversi salah guna kuasa yang dikaitkan keluarga terdekatnya, era Najib boleh dianggap yang terburuk dalam sejarah negara.

Beberapa skandal seperti skandal PKFZ, NFC, istana Khir Toyo, skandal perniagaan Taib Mahmud dan banyak lagi walaupun dikatakan berlaku ketika era sebelum Najib lagi, tetapi kerajaan yang dipimpin Najib hari ini terpaksa menerima padahnya.

Selain itu skandal tepat ke batang hidung Najib tambah menjejaskan reputasi beliau ialah skandal pembeliaan kapal selam Scorpene, pembelian kenderaan berperisai kegunaan Angkatan Tentera Malaysia, kehilangan dua enjit pesawat F-5E dan banyak lagi.

Indeks persepsi rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh badan bebas pemantau rasuah antarabangsa, Transparency International (TI),  baru- baru ini turut menunjukkan prestasi negara jatuh merudum dengan banyak dari kedudukan 56 ke tangga ke 60 tahun ini.

Penguasaan BN era Abdullah dan Najib

Perbezaan ketara di era Abdullah selepas PRU-11, BN pernah berada dalam kedudukan cukup selesa setelah beroleh kemenangan cemerlang dalam PRU tersebut.

Manakala Najib pula mula mengambil alih pentadbiran negara ini dari Abdullah dengan keadaan BN sedang menghadapi masalah ‘kecairan’ kepercayaan pengundi dalam PRU-12 lalu.

Sedikit sebanyak kemerosotan teruk prestasi BN dalam PRU-12 itu telah menjadikan satu momentum baru, baru tersedar dan kebangkitan semula Yang Berhormat dari BN dengan berusaha lebih gigih dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat negara ini.

Sebelum ini, pada tanggapan YB dari BN ini, rakyat negara ini akan terus memilih mereka walau seteruk mana pun prestasi dan imej yang disandang oleh pemimpin BN.

Bagaimanapun pada masa yang sama, sesetengah pemerhati juga menganggap keputusan PRU-12 lalu sebagai papan lonjakan baru bagi pembangkang untuk meluaskan penguasaan mereka dalam PRU-13 nanti.

Pembangkang PRU-12 dan PRU-13

Pakatan ketika menghadapi PRU-12 lalu tidaklah berada dalam keadaan ditekan seperti mana yang ada hari ini. Antara penyebab utama, Pakatan ketika itu hanya memiliki Kelantan berbanding lima negeri dalam PRU-12 lalu.

Berbeza dengan BN, Pakatan tidak banyak dibebani isu-isu yang membebankan mereka kecuali beberapa isu utama yang melibatkan isu lompat parti dan kes liwat 2 yang menyelubungi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi cabaran PRU-13 nanti.

Isu-isu lain selain isu lompat parti dan isu melibatkan Anwar itu boleh dianggap sebagai isu sampingan, tempelan dan sesetengahnya boleh dianggap remeh berbanding isu yang dihadapi BN.

Beberapa isu dijangkakan akan mendapat liputan besar-besaran oleh media kawalan kerajaan dalam kempen PRU-13 nanti termasuklah tiga isu utama iaitu isu lompat parti pemimpin pembangkang, rakaman video lucah dan tentu sekali tuduhan liwat 2 yang dikenakan terhadap Anwar.

Meskipun pemimpin pembangkang sedang berusaha meyakinkan rakyat bahawa ianya merupakan konspirasi terancang pemimpin tertinggi Umno, sedikit sebanyak akan menjejaskan peluang Pakatan untuk menawan Putrajaya.

Meskipun sesetengah masyarakat percaya bahawa ianya adalah satu konspirasi, ia masih boleh mempengaruhi undi sebahagian pengundi yang lain.

Berbanding pra PRU-12 lalu, Anwar masih dalam ‘tempoh edah’ yang tidak membenarkan beliau menyertai politik dan ketika itu juga Anwar tidak diuar-uarkan sebagai PM menanti sekiranya pembangkang menang.

Sebaliknya hari ini, Anwar dengan imej tercalarnya bukan sahaja nmengetuai pakatan pembangkang bahkan turut diuar-uarkan sebaga bakal PM Malaysia sekiranya Pakatan memenangai PRU-13 nanti.

Sedikit sebanyak imej terluka Anwar ini akan mempengaruhi kesan undi terhadap parti-parti yang bernaung di bawah Pakatan terhadap kepercayaan pengundi-pengundi negara ini.

Bagaimanapun, Anwar masih dianggap sebagai penggerak utama yang membawa kesepakatan parti-parti dalam Pakatan dan juga ‘anchor’ untuk sekali lagi ‘swing’ mengenai tepat kepada BN. -FMT

p/s : UNDILAH PAS!! UNDILAH PAKATAN RAKYAT!!

Kepada pengundi-pengundi baru, terutamanya yang berada di kawasan parlimen Kuala Kedah, boleh buat semakan online daftar pemilih di laman SPR, dengan klik ke gambar ‘Adakah anda pengundi berdaftar?’ yang terdapat di sebelah kanan laman blog ini.. Harap maklum.. Terima kasih..

Dinar Emas,Yuran Universiti Percuma Antara Janji Negara Kebajikan PAS

  • Penggunaan dinar emas dengan meluas, yuran universiti percuma bagi pelajar miskin dan geran tanah pegangan bebas (freehold) bagi semua kediaman adalah antara dasar yang bakal diperkenalkan PAS jika rakyat memberinya mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
  • Janji-janji tersebut terkandung di dalam dokumen Negara Berkebajikan PAS yang menampilkan 10 agenda utama merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial yang parti itu akan laksanakan pada penggal pertama pemerintahannya jika Pakatan Rakyat mengambil alih negara.
  • Dokumen itu dilancarkan hari ini oleh Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Seri Hj. Abdul Hadi Awang yang berkata ia merupakan manifesto PAS pada pilihanraya akan datang.
  • Antara dasar lain yang ditawarkan adalah skim pembiayaan kesihatan nasional bagi mereka yang tiada perlindungan insurans. PAS juga akan menetapkan supaya 15 peratus tenaga kerja disemua peringkat haruslah diisi oleh warga yang berumur 35 tahun ke bawah.
  • “Agenda di dalam dokumen Negara Berkebajikan ini akan dimasukkan sekali ke dalam agenda Buku Jingga yang menjadi agenda berasama dalam Pakatan Rakyat,” katanya.
  • Tuan Guru Hj. Abdul Hadi berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan di sini hari ini.
  • Parti Islam itu melancarkan dokumen tersebut selepas Muktamar PAS Jun lalu, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
  • Dokumen ini juga antara lainnya menghayati semangat kebersamaan dan permuafakatan politik Pakatan Rakyat sebagaimana termaktub dalam Dasar Bersama perikatan tersebut.
  • Mengulas lanjut iltizam ini, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi berkata isu moral pemimpin ada kunci bagi merealisasikan sebuah kerajaan berkebajikan dan bertanggungjawab.
  • “PAS dan Pakatan rakyat telah membuktikan dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah kuasa kami, tiada apa-apa bukti salah laku yang kami lakukan,” katanya.
  • “Bila moral (pemimpin) baik, harta yang sedikit boleh dikendalikan dengan syarat tidak boros, tidak menyeleweng, kalau harta banyak sekalipun, ditadbir oleh pemimpin yang moralnya runtuh, tidak ada apa faedah hanya sedikit sahaja hasil diturunkan kepada rakyat,” tambah Tuan Guru Hj. Abdul Hadi.
  • Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dengan tegas berkata idea Negara Berkebajikan yang juga merupakan perjuangan bersama Pakatan Rakyat ini bukan sahaja amalan lazim negara demokrasi malah ia juga adalah amalan sesebuah kerajaan yang dituntut islam.
  • Hj. Abdul Hadi menambah, kerajaan bukan sekadar bertanggungjawab membantu meringankan beban rakyat malah kerajaan boleh diibaratkan sebagai khadam yang menjalankan tanggungjawab memakmurkan sesebuah negara.
  • “Ada kalanya kerajaan yang memerintah hanya menjalankan tanggungjawabnya semasa musim pilihanraya, ia dilakukan bukan kerana amanah tetapi untuk memancing undi rakyat.
  • “Oleh itu, kami (Pakatan Rakyat) tampil memperkenalkan kepimpinan yang bertanggungjawab untuk menunaikan amanah rakyat,” jelas Tuan Guru Hj. Abdul Hadi. -tvs

Intipati 10 Agenda – Negara Berkebajikan Tawaran PAS

PAS telah pun melancarkan buku ‘Negara Berkebajikan : Tawaran PAS’ di Shah Alam melalui Presidennya, Tuan Guru Datuk Seri Hj. Abdul Hadi Awang. Di antara intipati 10 agenda tersebut seperti berikut ;
1. Kerajaan beramanah, adil dan bersih
-memperkukuh sistem federalisme
-memperkasakan kembali amalan pemisahan kuasa
-sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih
-memulihkan agensi-agensi awam
-mewujudkan suruhanjaya berkaitan siasatan awam
2. Masyarakat penyayang, aman dan bersatu
-memperbanyak kewujudan badan masyarakat madani dan organisasi perniagaan sosial
-menyemak semula jumlah pengurangan dan pelepasan cukai
3. Ekonomi mampan, seimbang dan saksama
-menyusun kembali keutamaan pembangunan
-penekanan sewajarnya terhadap program-program pembasmian kemiskinan
-membudayakan penggunaan dinar emas dan dirham
-menyemak kembali peraturan-peraturan yang mengawal pasaran dan persaingan
4. Pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai
-memberi yuran pengajian percuma kepada anak-anak dari keluarga luar bandar berpendapatan RM1,500 ke bawah dan keluarga bandar berpendapatan RM2,500 ke bawah untuk memasuki universiti-universiti awam.
5. Perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai
-mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional
-menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan
6. Kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat
-memperkukuh dan memperkemas pengurusan zakat, wakaf
-memberikan lebih kuasa dan peranan kepada masjid
-meminimumkan karenah birokrasi
-meningkatkan harga hartanah rakyat
-membanyakkan jumlah peruahan kos rendah dan mampu milik
-mewujudkan rumah-rumah sewa di bandar besar
7. Keluarga harmoni, bahagia dan bermoral
-memupuk gaya hidup kekeluargaan yang memenuhi fitrah semula jadi manusia
-mewujudkan tabung khas khusus untuk suri rumah sepenuh masa
8. Belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela.
-mengadakan kuota minimum 15 peratus bagi tenaga kerja di semua peringkat
-mengkaji semula struktur gaji dan terma perkhidmatan sektor awam
-menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi
-menaikkan Elaun Sara Hidup (Cola) sehingga RM500.
-meminda akta berkaitan dengan gaji minimum
-meletakkan seluruh kesatuan atau persatuan yang berkaitan dengan pekerja di bawah Akta Kesatuan Sekerja.
9. Kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia
10. Alam sekitar segar, terpelihara dan lestari

Wakil PBB Kecam Rang Undang-Undang Baru Perhimpunan Aman

Kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan bahawa rang undang-undang baru itu bukan sahaja menghadkan hak berhimpun secara aman, termasuk demonstrasi jalanan, tetapi juga akses bersyarat kepada pihak media di perhimpunan awam.

Pelapor khas PBB, Maina Kiai menyuarakan rasa “amat kecewanya” kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau masyarakat sivil, tidak dirujuk dalam merangka rang undang-undang tersebut.

Maina berkata rang undang-undang itu mengandungi takrif yang kabur mengenai perhimpunan dan juga sekatan dan syarat-syarat perhimpunan, yang menurutnya telah memberikan “kuasa berlebihan” kepada pegawai penguatkuasa undang-undang dan menteri dalam negeri.

“Banyak sekatan ini adalah tidak wajar mengikut undang-undang antarabangsa. Ia juga memberi budi bicara kepada pihak polis untuk membuat apa saja bentuk rakaman perhimpunan,” kata Maina yang merupakan pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan.

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 November dan ia diluluskan secara tergesa-gesa dengan beberapa pindaan, dalam tempoh kurang daripada dua minggu – pada 29 November.

Ia diluluskan walaupun ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas membahaskan rang undang-undang tersebut, dan juga bantahan oleh lebih 1,000 peguam pada hari yang sama.

Rang undang-undang itu juga termasuk larangan ke atas bukan warganegara dan warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman.

Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB sehingga 2013.

Seorang lagi pelapor khas bagi hak kebebasan untuk bersuara, Margaret Sekaggya, berkata beliau memandang berat peruntukan melarang warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun.

“Penyertaan politik dan sosial melalui protes secara aman, bukan sahaja merupakan satu pengalaman pendidikan untuk kanak-kanak, belia dan pelajar, tetapi juga satu pelaburan kepada masyarakat secara keseluruhannya,” tegasnya.

Manakala pelapor khas bagi hak kebebasan bersuara, Frank La Rue, menggesa kerajaan Malaysia menimbang semula secara serius rang undang-undang itu.

“Keupayaan semua individu untuk bersuara secara bebas, termasuk dalam bentuk perhimpunan aman, merupakan satu ujian kepada tahap demokrasi di mana-mana negara.”

Fracois Crepeau, pelapor khas hak asasi manusia bagi pendatang, juga menggesa supaya rang undang-undang itu segera dikaji semula.

“Setiap orang berhak terhadap kebebasan berhimpun dan berpersatuan, tanpa sebarang apa jua pembezaan, termasuk kewarganegaraan,” kata Crepeau.

Kesemua pakar tersebut melaporkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Geneva, dalam kapasiti bebas dan tidak dibayar.

Julai lalu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan kuasa yang berlebihan terhadap peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.