Archive for February, 2012

Presiden PAS : PAS Tidak Jadikan Islam Senjata Politik

28 Rabi’ul Awal 1433H.

KUALA PILAH – Pas tidak pernah menjadikan Islam sebagai senjata politik untuk meraih kuasa.

Sebaliknya, Presiden Pas, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang berkata, politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang telah menjadi tanggungjawab bagi umatnya untuk berjuang menegakkan hukum Islam dalam kehidupan mereka sehari-hari, termasuk urusan politik.

Sehubungan itu, menu­rutnya, tanggapan pihak tertentu bahawa parti itu menggunakan agama sebagai senjata politik, sama sekali tidak benar.

“Politik adalah sebaha­gian daripada ajaran Islam, bukan sebaliknya. Kita tidak boleh mempolitikkan Islam, tetapi perlu mengislamkan politik. Siapa kata politik terpisah daripada Islam?,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menggesa pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan agama sebagai senjata politik.

Abdul Hadi berkata, Islam sentiasa mengajar umatnya supaya ikhlas dalam melakukan sesuatu.

“Bukan sahaja ikhlas dalam bersolat, tetapi dalam politik juga kita perlu ikhlas. Ada orang ber­juang dalam politik hendak dapatkan nama, pangkat, projek atau harta, ini adalah tidak betul dan sudah tentu tidak dapat pahala,” katanya ketika menghadiri Majlis Pelancaran Dokumen Negara Berkebajikan dan Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan Pas kawasan Kuala Pilah, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abdul Ghani; Ahli Jawatan­kuasa Pas Pusat, Zulkefly Mohamad Omar; Timbalan Pesuruhjaya II Pas Negeri, Abdul Rahman Ramli dan Yang Dipertua Pas Kuala Pilah, Zaharuddin Othman.

– Sinar Harian

Kerajaan Negeri Bina Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Langkawi

PULAU TUBA – Selepas Kolej Universiti Insaniah dinaiktarafkan, kerajaan negeri mengembangkan pembangunan pendidikan dengan membina satu lagi pusat pendidikan, iaitu Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, di sini.

Pembinaan Maahad Tahfiz ini adalah bukti bahawa sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab kepada rakyat, kerajaan amat serius dalam pengajian yang menjurus kepada agama dan sains.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, projek bernilai RM15 juta ini dicetuskan setelah beliau mengadakan dialog bersama penduduk Pulau Tuba.

“Tak sampai setahun yang lepas, saya telah melawat pulau ini, bersama kakitangan kerajaan dan Exco, kita telah adakan dialog dengan rakyat, seorang dari pulau ini minta kerajaan buat sekolah agama, jadi saya berjanji, InsyaAllah saya akan usahakan.

“Setelah dibincang bersama mereka yang terlibat, ianya pun jadi, tapi saya tak mau lambat, bila siap baru belajar, maka saya suruh cari tempat sementara dulu, iaitu di Kulim.

“Permintaan daripada ibu bapa untuk masuk sekolah amat menggalakkan, ini kerana ibu bapa telah sedar betapa penting penndidikan agama kepada anak-anak, selain akademik,” jelas beliau pada majlis pecah tanah Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, di sini.

Sekolah berasrama penuh ini dilengkapi dengan 20 bilik darjah, empat makmal sains yang dilengkapi makmal fizik, kimia, biologi dan makmal biasa, surau, pusat sumber, kantin dan kuarters untuk guru dan kakitangan sekolah.

Projek ini dijangka siap dalam masa tiga tahun yang mampu menempatkan 300 pelajar.

Sekitar Sambutan Maulidur Rasul

8.00 pagi   : Berhimpun di SRIDU
8.30 pagi   : Berarak ke DEWAN AL-AMIN

9.00pagi    : Ucapan oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah
: Ucapan oleh wakil PAS Kawasan Kuala Kedah
: Persembahan oleh pelajar-pelajar PASTI
: Marhaban
: Ceramah Maulidurrasul
11.30 pagi : Jamuan makan & bersurai

 

Anjuran : DPP Kuala Kedah, Muslimat PAS Kuala Kedah dan Majlis Guru PASTI Kuala Kedah

Tarikh : 5 Februari / 12 Rabiulawwal

Tema : Rasulullah Dicintai, Ummah Diberkati

 

 

Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini. Jazakumullahu khairan kathira.

Mendaulatkan Hukum Islam Tanggungjawab Setiap Muslim

 

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

Renungan :

“Barang siapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) 10 kali lipat amalannya, dan barang siapa yang membawa perbuatan yang jahat, maka dia diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan).” (QS. Al-An’am: 160)
************
Sempena memperingati hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. (Maulidur Rasul) pada Ahad, 12 Rabiulawal 1433 Hijrah (5 Februari 2012) ini, sukacita kita mengingatkan bahawa setiap Muslim adalah wajib untuk mempunyai niat atau cita-cita menegakkan hukum-hakam Islam.

Dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah apabila diadili di Mahsyar nanti. Bagaimanapun niat saja tidak mencukupi.

Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Pemimpin dengan kaedah berpolitiknya, ustaz dengan kelas pengajiannya, penulis dengan tulisannya dan yang penting mesti ada jemaah yang berjuang ke arah itu.

Marilah kita berdoa semoga semua Muslim terutama pembesar dan pemimpin negara dibukakan hati untuk berusaha keras ke arah melaksanakan hukum-hakam Islam. Marilah kita berdoa supaya pemimpin kita terbuka hatinya untuk menjalankan hukum-hakam Islam.

Beberapa tahun lalu pemimpin negara sudah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. Malangnya perisytiharan itu tidak disertai dengan pelaksanakan hukum-hakam Islam.

Apabila ini berlaku kita amat bimbang Allah akan menjatuhkan hukuman ke atas pemimpin berkenaan dan diri kita di dunia lagi. Sama seperti mengatakan negara ini negara Islam tetapi tidak melaksanakan hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran. Ingatlah, bala akan terkena semua orang – yang beriman dan tidak beriman.

Tidak lama dulu pemimpin kerajaan bertindak mengumpulkan imam-imam dan pegawai masjid dan kemudian meminta mereka memberikan pandangan bagaimana hendak menangani jenayah rogol, bunuh, zina dan sebagainya yang semakin menjadi-jadi.

Bukankah jalan penyelesaian sudah ada dalam al-Quran. Panduannya sudah diberikan oleh Allah, kenapa manusia pula pandai-pandai mahu mencari jalan keluar? Tidak mahukan hukum-hakam Allah bermakna tidak takutkan Allah. Jika seseorang atau negara tidak melaksanakan hukum Allah bermakna dia lebih berkuasa daripada Allah, sebab dia mampu tolak perintah Allah.

Apabila pemimpin menyatakan Malaysia sebuah negara Islam tapi tidak melaksanakan hukum-hakam Islam, amat-amatilah apa yang akan berlaku. Misalnya, Amerika sudah mengintip-intip untuk menghebatkan cengkamannya, orang Islam yang taat dicop sebagai pengganas dan dihumbankan dalam penjara tanpa bicara manakala masyarakat menjadi huru-hara dengan kes jenayah yang tidak berkesudahan.

Jika benar Umno hendak menegakkan hukum-hakam Islam, buatlah sekarang sebab parti berkenaan sudah diberi kepercayaan besar oleh rakyat. Kalau tak buat, kita bimbang Umno memang tidak hendak Islam berkuasa. Ini kerana sudah lebih 50 tahun Umno menguasai kerajaan. Kalau dalam tempoh selama itu tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam, kita mahu tunggu berapa lama lagi… 500 tahun?

 

Siapa Kata Kedah Tidak Berubah Wajah Sepanjang 4 Tahun?

 

 

Apabila membincangkan aspek kejayaan atau kegagalan sesebuah kerajaan negeri perkara penting yang perlu dibuat ialah mengenalpasti skop pertanggungjawapan. Ada urusan yang menjadi bidangkuasa negeri semata-mata, misalnya urusan tanah, pentadbiran agama Islam dan protokol istana. Ada urusan yang menjadi bidangkuasa kerajaan Persekutuan semata-mata, misalnya pengurusan kesihatan, pendidikan melibatkan sekolah dan IPTA dan keselamatan. Ada juga urusan yang menjadi tanggungjawab bersama, misalnya bidang pertanian dan kebajikan.

Akibat kejahilan sebahagian rakyat dalam mengenalpasti peranan dua kerajaan ini (Pusat dan negeri) maka BN telah mengeksploitasi sepenuhnya keadaan itu dengan mendakwa bahawa segala yang buruk berlaku di dalam negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat adalah berpunca dari kelemahan kerajaan negeri. Manakala semua kejayaan adalah dibuat oleh Pusat.

Media BN menyerang kerajaan negeri berhubung isu ekonomi dan pengangkutan awam, walhal perkara tersebut di bawah bidangkuasa Pusat. Mereka juga membangkitkan isu jalan MADA dan jalan luarbandar yang gagal diturap walhal perkara tersebut tidak menjadi tangungjawab kepada kerajaan negeri. Mereka membangkitkan isu pelancongan, pelaburan dan kebajikan sedangkan perkara tersebut adalah isu bersama yang mesti ditangani oleh Pusat dan Negeri.

Baru-baru ini RTM menganjurkan forum Bicara Rakyat. Seorang pensyarah kangkong dari sebuah IPTA menghentam kerajaan negeri kononnya sepanjang empat tahun mentadbir negeri tiada perubahan yang dilihatnya di Bandaraya Alor Setar. Mujur antara yang menjadi panel forum tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah Dr. Ismail Salleh. Beliau menjawab dengan ilmiah dan berhemah. Jika penulis yang menjadi panelis maka ayat pertama yang dilontarkan ialah, “Awak pensyarah buta!”

Begitu banyak perubahan yang berlaku di Bandaraya Alor Setar sepanjang empat tahun, jika perubahan yang dimaksudkan adalah perubahan fizikal (yang menjadi kayu ukur pembangunan BN yang sekular); maka dalam tempoh yang singkat begitu banyak kawasan perumahan yang muncul di Langgar, Tandop, Alor Mengkudu, Kuala Kedah, Kuala Sungai dan Mergong sekaligus mengubah lanskap bandaraya Alor Setar. Perumahan dibangunkan oleh pihak swasta dan GLC melalui perancangan teliti serta kelulusan oleh kerajaan negeri. Apabila wujudnya perumahan, sekaligus mewujudkan premis-premis perniagaan yang akan menjana ekonomi negeri.

Pusat Bandaraya Alor Setar kini berubah wajah. Bangunan serbanika yang usang di Stesyen Bas Baru dirobohkan dan dibangunkan UKIR Mall yang tersergam gagah. Ia projek Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Di belakangnya dibina medan selera yang baru dan cantik. Di sisi UKIR Mall yang dahulunya menjadi bangunan usang tinggalan sebuah syarikat bas, kini dibangunkan sebagai gerai-gerai makanan ala ‘one stop center’. Berpuluh peniaga Melayu boleh mencari rezeki.

 

 

Kalau di zaman BN Bandaraya Alor Setar hanya menjadi bandar mati, atau sekadar tempat anak muda melepak dan merempit kini bandaraya lebih ceria dengan wujudnya bazaar larut malam di perkarangan stadium dan bazaar sinar malam di perkarangan Pekan Rabu. Hampir semua yang terbabit dengan perniagaan adalah golongan Bumiputera.

Di sepanjang jalan utama pusat bandar, Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) membina tembok penghadang. Di samping mencantikkan pemandangan ia mengurangkan ancaman keselamatan terhadap pejalan kaki. Bulatan Jalan Kota dibangunkan semula.

 

 

 

Anak Kedah di perantauan pulang ke Kedah dan berkunjung ke Alor Setar tercari-cari di mana letaknya ‘junjungan mahkota’ di bulatan Teluk Wanjah. Rupanya ia sudah hilang apabila sebuah jalan atas yang lebih besar dibina di situ. Kalau ada orang yang mendakwa wajah Alor Setar tidak berubah, maka individu itu sangat ketinggalan zaman.

Di zaman BN terdapat sebuah bangunan usang gergasi bersebelahan Menara Alor Setar. Pihak menara agak sukar melakukan promosi terhadap menara kerana pemandangan pertama yang pengunjung saksikan ialah sebuah bangunan lusuh yang terbengkalai. Bangunan itu terbengkalai selama 33 tahun tanpa dapat dilakukan apa-apa oleh lima orang Menteri Besar BN.

 

 

 

Alhamdulillah, selepas tiga tahun Pakatan Rakyat mentadbir bangunan usang itu berjaya dirobohkan untuk dibangunkan sebuah super mega mall. PKNK dengan kerjasama sebuah syarikat swasta akan membangunkan kawasan tersebut dengan nama Aman Central. Pembinaan projel Aman Mall yang bernilai 500 juta itu sedang berjalan dan dijangka siap dalam masa 30 bulan. Di penjuru super mega mall itu akan dibina sebuah surau besar yang boleh menampung 400 jemaah dalam satu masa. Ia mungkin kali pertama di negara ini sebuah pusat membelibelah raksasa mempunyai sebuah surau yang gah terserlah, ada kubah dan menara serta boleh melaungkan azan sepanjang lima waktu melalui pembesar suara tanpa halangan. Ia tidak berlaku atau tidak mampu dibuat di zaman BN.

Itulah yang membuatkan UMNO Kedah meracau siang malam, lalu mengaitkan pembinaan projek raksasa Aman Central kononnya melalui perobohan sebuah bangunan bernama Salihiah. Ia didirikan di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Kedah (MAIK). Madrasah yang didakwa sebuah surau itu sebenarnya adalah sebuah bangunan yang sebelum ini adalah pejabat sebuah syarikat insuran. Terdapat sebuah surau di ruang atas bangunan itu tetapi tidak dimakmurkan sepanjang waktu.

Apabila Majlis fatwa memutuskan bahawa tanah wakaf dan bangunan itu boleh ditukar tempat melalui kaedah istibdal, maka pembangkang mengambil kesempatan mengeksploit sebagai isu itu sebagai isu politik, kononnya kerajaan negeri memaksa 10 ahli Majlis Fatwa membuat fatwa mengikut kehendak pemaju. Sungguh dungu tuduhan itu.

Apa yang hendak diceritakan di sini ialah kejayaan kerajaan PR mengubah wajah bandaraya Alor Setar dari aspek pembangunan fizikalnya, jika itulah yang ditagih oleh pihak pembangkang yang sering memomokkan kononnya kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa.

Penulis hanya mencatatkan secebis dari begitu banyak perubahan di bandaraya Alor Setar, belum lagi di tempat lain. Ruangan amat terhadap untuk menyenaraikan perubahan lanskap fizikal seluruh negeri Kedah. Sekurang-kurangnya ia dapat mencelikkan tohmahan seorang pensyarah kangkong pro BN.

Jika projek kerohanian pula yang ditohmah sebagai tidak dilakukan sepanjang PR memerintah Kedah, maka ia lebih sedap untuk disenaraikan. Kuliah agama di seri Mentaloon, Kem Anak Soleh, Kem Bina Insan, Kem Bina Sahsiah, Kem Belia Sejahtera, Mahligai Sejahtera, bantuan terhadap sekolah agama rakyat, guru Al-Quran sukarela, guru pra sekolah adalah antara yang berlaku di zaman PR oleh kerajaan negeri tetapi tidak dilakukan oleh kerajaan negeri dahulu.

Tapi biasalah pembangkang, jarang menumpu aspek kerohanian di Kedah untuk menyerang kerajaan negeri kerana mereka pun ‘kemere’ dalam bidang tersebut.