Archive for the ‘Agama’ Category

Bila Hati Dah Keras.. Buat Dosa Dah Tak Terasa..

(kata-kata muhasabah buat renungan bersama)

  • Dalam Surah Al-Maidah ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud, “Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara birr dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.”
  • Kalimah “birr dan taqwa” mempunyai maksud tertentu. Dalam kitab al-Asas fit Tafsir disebutkan “Birr ialah melakukan kebaikan dan taqwa bermaksud meninggalkan segala kemungkaran dan dosa.”
  • Jika menurut Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitab Usul ad-Dakwah, secara ringkasnya, ayat tersebut adalah dalil kewajipan mewujudkan organisasi malah wajib dilaksanakan dakwah melaluinya apabila hasil tidak tercapai melainkan dengannya.
  • Ini mungkin dikuatkan lagi dengan ayat 4 surah As-Saff. Sahabat-sahabat boleh rujuk sendiri tafsir ayat ini. Imam Qatadah juga ada memberikan pandangan berhubung ayat ini. Secara ringkasnya, yang mana dinyatakan kiasan Allah yang tidak menyukai perintahNya dilaksanakan dengan tidak teratur. Allah memerintahkan agar saf di medan perjuangan berada dalam keadaan yang tersusun rapi sebagaimana tersusunnya saf semasa solat berjamaah.
  • As-Syahid Syed Qutb dalam Fi Zilalil Quran, “Yang dituntut bukanlah semata-mata berjuang, TETAPI berjuang atas landasan dan berjuang dalam saf bersama-sama dengan jamaah Islam”
  • As-Syeikh Said Hawa di dalam kitab Madkhal Ila Dakwah Al-Ikhwan al-Muslimin (Pengenalan Dakwah Ikhwan Muslimin) berkata, “Zaman kita sekarang adalah zaman lahirnya penyeru-penyeru di pintu neraka. Sabda Nabi sallahu a’laihi wasallam, “Berpeganglah dengan jamaah Islam dan imam (pemimpin) mereka.” Hadis ini menuntut kita beriltizam dengan jamaah Islam dan pimpinannya.”
  • Muhasabah diri kita pula. Islam membangun daulah di atas prinsip iman. Iman adalah tapak dalam membangun sebuah peradaban. Semakin kuat iman itu mengakar, semakin kuat daulah itu berdiri. Ia ibarat seperti sebatang pokok, semakin dalam akar itu menjalar ke dasar bumi, semakin tinggi batang pokok itu meninggalkan bumi. Asas inilah yang membawa Daulah Islamiyyah ke mercu kejayaannya yang sangat gemilang berabad-abad lamanya suatu ketika dahulu.
  • Islam memandang bahawa pembentukan Daulah Islamiyyah merupakan suatu kewajipan yang asasi, juga kewajipan agama dan kehidupan. Ia bukan disebabkan oleh perasaan ‘gila kuasa’ atau loba dengan kesenangan dunia sehingga menilai rendah terhadap hak asasi manusia dan merampas harta benda mereka di sebalik nama cukai, GST, dan sebagainya.
  • Malah Syeikh al-Maududi, pengasas Jami’at Islami Pakistan menyebut di dalam tafsirnya bahawa kemuncak di sebalik penurunan al-Quran adalah demi menuju sebuah pembentukan Daulah Islamiyyah.
  • Runtuhnya Daulah Islamiyyah, maka runtuhlah perlaksanaan Islam yang syumul. Maka apa yang tinggal hanyalah perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah dan munakahat, sedangkan Islam tidak pernah memperincikan penilaian ad-Deen itu kepada semata-mata ibadah, akhlak dan munakahat tetapi ia lebih luas berfungsi menaungi pola kehidupan manusia seluruhnya.
  • Justeru itu, walaupun ia melibatkan soal daulah Islam, persoalan agama dan persoalan yang mungkin ianya dipandang mudah sesetengah orang seperti persoalan dosa dan pahala, ianya tidak boleh diketepikan sama sekali.
  • Sebagai contoh, sebelum kedatangan Islam, masyarakat arab jahiliyyah hidup di dalam kegelapan dan kesesatan. Mereka menjadi bangsa yang hina di tengah-tengah kuasa besar Rom dan Parsi yang berkuasa pada saat itu. Mereka melakukan kezaliman dan penindasan yang tiada taranya kepada golongan kelas rendah, hamba sahaya, golongan kasta serta para wanita.
  • Mereka sewenang-wenangnya membunuh anak-anak perempuan mereka dan menjadikan mereka dan isteri-isteri mereka sebagai barang tukaran untuk memuaskan nafsu kebinatangan mereka dengan pelbagai bentuk pernikahan yang batil. Hidup mereka dipenuhi dosa. Hati mereka keras.
  • Lalu Islam datang dengan membawa islah melalui risalah Nabi Muhammad SAW. Memahami pengertian Islam yg sebenar, menegakkan keadilan dan memerangi kezaliman merupakan intipati utama yang diperjuangkan.
  • Di samping menyeru umat manusia agar mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagai sebenar-benar Tuhan yang selayaknya disembah, Nabi Muhammad SAW juga menyeru mereka agar berlaku adil dan memerangi kezaliman. Baginda adalah penyeru keadilan sosial dan keadilan sejagat, melampaui soal etnik, qabilah, keturunan & geografi. Allah SWT berfirman:
لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ
“Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan”
  • Adakah kita mampu menyambung usaha mulia Nabi Muhammad SAW?? Bina daulah Islamiyyah dalam dirimu, insyaAllah akan terbina daulah Islamiyyah dengan kehendakNya. InsyaAllah.
Semoga bermanfaat, buat muhasabah kita bersama..
~pesanan untuk pejuang~

Mendaulatkan Hukum Islam Tanggungjawab Setiap Muslim

 

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

Renungan :

“Barang siapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) 10 kali lipat amalannya, dan barang siapa yang membawa perbuatan yang jahat, maka dia diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan).” (QS. Al-An’am: 160)
************
Sempena memperingati hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. (Maulidur Rasul) pada Ahad, 12 Rabiulawal 1433 Hijrah (5 Februari 2012) ini, sukacita kita mengingatkan bahawa setiap Muslim adalah wajib untuk mempunyai niat atau cita-cita menegakkan hukum-hakam Islam.

Dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah apabila diadili di Mahsyar nanti. Bagaimanapun niat saja tidak mencukupi.

Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Pemimpin dengan kaedah berpolitiknya, ustaz dengan kelas pengajiannya, penulis dengan tulisannya dan yang penting mesti ada jemaah yang berjuang ke arah itu.

Marilah kita berdoa semoga semua Muslim terutama pembesar dan pemimpin negara dibukakan hati untuk berusaha keras ke arah melaksanakan hukum-hakam Islam. Marilah kita berdoa supaya pemimpin kita terbuka hatinya untuk menjalankan hukum-hakam Islam.

Beberapa tahun lalu pemimpin negara sudah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. Malangnya perisytiharan itu tidak disertai dengan pelaksanakan hukum-hakam Islam.

Apabila ini berlaku kita amat bimbang Allah akan menjatuhkan hukuman ke atas pemimpin berkenaan dan diri kita di dunia lagi. Sama seperti mengatakan negara ini negara Islam tetapi tidak melaksanakan hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran. Ingatlah, bala akan terkena semua orang – yang beriman dan tidak beriman.

Tidak lama dulu pemimpin kerajaan bertindak mengumpulkan imam-imam dan pegawai masjid dan kemudian meminta mereka memberikan pandangan bagaimana hendak menangani jenayah rogol, bunuh, zina dan sebagainya yang semakin menjadi-jadi.

Bukankah jalan penyelesaian sudah ada dalam al-Quran. Panduannya sudah diberikan oleh Allah, kenapa manusia pula pandai-pandai mahu mencari jalan keluar? Tidak mahukan hukum-hakam Allah bermakna tidak takutkan Allah. Jika seseorang atau negara tidak melaksanakan hukum Allah bermakna dia lebih berkuasa daripada Allah, sebab dia mampu tolak perintah Allah.

Apabila pemimpin menyatakan Malaysia sebuah negara Islam tapi tidak melaksanakan hukum-hakam Islam, amat-amatilah apa yang akan berlaku. Misalnya, Amerika sudah mengintip-intip untuk menghebatkan cengkamannya, orang Islam yang taat dicop sebagai pengganas dan dihumbankan dalam penjara tanpa bicara manakala masyarakat menjadi huru-hara dengan kes jenayah yang tidak berkesudahan.

Jika benar Umno hendak menegakkan hukum-hakam Islam, buatlah sekarang sebab parti berkenaan sudah diberi kepercayaan besar oleh rakyat. Kalau tak buat, kita bimbang Umno memang tidak hendak Islam berkuasa. Ini kerana sudah lebih 50 tahun Umno menguasai kerajaan. Kalau dalam tempoh selama itu tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam, kita mahu tunggu berapa lama lagi… 500 tahun?

 

Pesanan Nabi Untuk Golongan Yang Fanatik Kepada Bangsa..!!

Hasil Tak Laksana Undang-Undang Hudud 50% Orang Islam Pernah Zina?

Oleh : Mohd Nasir Awang

Agaknya tidak ramai yang membaca pendedahan fakta amat memalukan berhubung tahap kebobrokan akhlak remaja kini oleh sebuah tabloid harian pada Sabtu, 1 Oktober. Mungkin juga di kalangan yang terbaca paparan itu pula tidak lagi menganggapnya suatu yang besar atau mengejutkan. Justeru, tidak ada yang peduli jika pun isu sebegitu serius tidak diperpanjangkan perbincangannya. (Gambar sekadar hiasan)

  • Laporan dimaksudkan itu mendakwa setiap tiga daripada enam remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan seks luar nikah. Disebutkan antara faktor utama mendorong perbuatan sundal itu ialah perasaan ingin mencuba, terutama sebagai akibat langsung daripada menonton video lucah.
  • Namun fakta lebih mendukacitakan ialah apabila dikatakan kebanyakan remaja terbabit adalah lulusan universiti, tidak terkecuali yang memiliki PhD. Ertinya, ia bukan hanya dilakukan kalangan remaja liar dan tidak berpelajaran, tetapi turut melibatkan mereka yang memiliki pencapaian akademik agak memuaskan.
  • Laporan itu memetik hasil Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010. Ia melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak, terdiri daripada 2,457 orang atau 49 peratus remaja lelaki, manakala 2,559 atau 51 peratus responden adalah perempuan.
  • Di antara dapatan kajian itu, seramai 2,260 responden mengakui terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah.
  • “Berdasarkan kaji selidik itu juga, sebanyak 52 peratus (2,608) menyatakan rakan mereka melakukan seks sebelum berkahwin dan 76 peratus (3,812) lagi mempunyai rakan pernah menonton video serta memiliki bahan lucah,” laporan itu memetik kata Ketua Pegawai Operasi IPPBM, Zakariah Md Sam.
  • Sangat membimbangkan kita apabila masyarakat seakan tidak lagi sensitif dengan fakta amat menggerunkan mengenai tahap kebobrokan akhlak remaja kini. Lontaran fakta itu tidak disambut mana-mana media.
  • Bahkan tabloid yang bertanggungjawab mendedahkannya pun mengambil sikap sekadar melaporkan, seolah-olah hanya untuk mengisi tiga suku mukasuratnya untuk hari itu sahaja. Sedangkan ia diletakkan di bawah kategori laporan ‘EKSKLUSIF’, yang pada kebiasaannya mengundang pelbagai reaksi dan ulasan.
  • Namun dalam kes ini tiada laporan atau tinjauan susulan dibuat tabloid itu sendiri. Tiada pihak, sama ada aktivis sosial atau warga prihatin yang disorot pandangan dan reaksi mereka. Tidak sepertimana ghairahnya media arus perdana memanjangkan isu filem dan drama tema hantu dan seram yang didakwa berunsur tahyul dan tidak mendidik masyarakat.
  • Media juga di masa sama masih berselera menghidupkan isu hudud. Atas sebab sangat nyata, ia bermaksud mencari keuntungan politik buat parti pemerintah dan di masa sama menjerumuskan parti-parti pembangkang ke kancah pertikaian lebih buruk.
  • Namun secebis fakta mengenai akhlak remaja kita itu, walau pun tidak begitu menarik  minat masyarakat (atau sebenarnya sengaja tidak mahu diperpanjangkan media arus perdana?), sebenarnya turut mempunyai hubungkait dengan isu hudud yang digemariuhkan itu.
  • Lebih-lebih lagi jika kita melihat hukum hudud dan lain-lain cabang hukum Islam itu sebagai salah satu mekanisme dikemukakan Islam untuk menyedar dan mendidik masyarakat dalam ertikata yang lebih luas dan menyeluruh.
  • Bukankah itu yang dapat kita fahami dari firman Allah dan sabda Junjungan s.a.w. tatkala menghuraikan fungsi dan maksud hukum-hukum syariat?
  • Justeru, amat kena pada masa tatkala khalayak penguasan politik sedang ghairah memperkecil dan memperlekeh usaha mendaulatkan hukum Islam, tiba-tiba fakta kesumbangan akhlak remaja tadi didedahkan.
  • Sebabnya, pendedahan itu juga menyeret pertikaian terhadap tahap kecemerlangan dan keberkesanan sistem pendidikan negara. Bahawa ia hanya mampu melahirkan insan yang cemerlang akademik, tetapi sangat bobrok akhlak dan jelik keperibadian mereka.
  • Apa tidaknya apabila kajian tadi mengesahkan 76 peratus daripada yang mengakui terlibat dengan gejala memalukan itu adalah pemegang ijazah, diploma serta PhD?
  • Justeru, memang tepat sergahan dilontarkan Zakariah, “… jadi bila mereka ini sudah terbabit dengan isu moral, bagaimana golongan ini mampu dijadikan teladan kepada belia lain yang memandang tinggi status mereka sebagai orang yang berpendidikan tinggi”.
  • Kebetulan pula laporan itu diterbitkan  pada hari sama Perdana Menteri membuat kenyataan mendakwa sistem pendidikan negara kita adalah yang terbaik, malah lebih baik daripada sistem diamalkan beberapa negara maju.
  • Sudah tentu dengan terdedahnya dapatan kajian tadi, dakwaan Dato’ Seri Najib Razak itu dengan sendirinya layak dipersoalkan. Kajian IPPBM itu tidak menyokong dakwaan beliau itu. Apakah kita tergamak berbangga dan mendakwa sistem pendidikan kita terbaik sekiranya separuh produk dihasilkannya terbabit seks bebas?
  • Apa gunanya mereka berjaya dan cerdik tetapi tidak tahu di mana letaknya dosa-pahala? Berbanggakah kita dapat menghasilkan ramai cerdik-pandai atau anak-cucu yang sangat cemerlang akademik mereka, sedangkan di masa sama mereka amat bobrok akhlak dan tingkahlaku?
  • Tidak dinafikan sistem pendidikan sedia ada telah berjaya menghasilkan ramai cerdik pandai, cendikiawan pelbagai bidang dan jurusan. Kita tidak kurang peguam dan pakar undang-undang, tetapi tidak sedikit antara mereka menggunakan pengetahuan luas dalam perundangan untuk memutarbelit fakta dan menukar harta orang menjadi miliknya.
  • Kita berbangga memiliki ramai anak bangsa bergelar doktor, tetapi antara mereka juga ada yang aktif merosakkan generasi muda dengan sindiket penjualan ubat batuk dan seumpamanya.
  • Apa guna kita ada pakar sejarah, tetapi cenderung memberikan gambaran positif dan memuji kaum penjajah? Apa guna kita ada penggiat ekonomi yang dianggap berjaya dan kononnya membanggakan kaum bimputera, sedangkan hampir setiap langkah mereka menyempurnakan kerja diiringi ‘duit kopi’ atau ‘tumbuk rusuk’?
  • Pernah disiarkan media sebelum ini mengenai tinjauan terhadap sikap penuntut universiti tempatan berhubung isu rasuah. Bayangkan antara mereka secara terus terang mengakui tidak ada masalah untuk melakukan perbuatan merosakkan itu sekiranya keadaan menghendaki mereka berbuat demikian.
  • Tinjauan juga pernah dibuat di kalangan penuntut perempuan mengenai kemungkinan mendapat pasangan lelaki berusia. Sebahagian tidak sedikit antara mereka menyatakan tidak kisah bersuamikan orang tua, asalkan orang itu kaya dan dapat menjamin keperluan kewangan mereka.
  • Dua kes ini menunjukkan fokus pemikiran penuntut universiti kita sudah terarah kepada mencari dan menjamin kepentingan kebendaan. Soal moral dan nilai positif masyarakat nampaknya sudah tiada dalam perkiraan mereka.
  • Itu belum lagi kita sebut soal adab sopan dalam tuturkata dan perlakuan mereka, terutama di khalayak awam. Tidak ada rasa hormat terhadap orang tua, bercakap lucah dan kotor. Berkelakuan tidak senonoh, berpakaian macam orang tidak bertamadun dan berbagai lagi perlakuan memualkan.
  • Lebih teruk lagi, mereka bukan sahaja biadab terhadap sesama manusia, malah tidak kesah untuk berlaku biadab terhadap suruhan dan larangan Tuhan. Apatah lagi mereka membesar dalam suasana sekalian pembesar dan orang terhormat dalam masyarakat bercakap mempertikaikan kewibawaan hukum Tuhan. Segenap saluran media massa pula memberikan gambaran positif terhadap kenyataan dan pendirian sedemikian.
  • Sebagai kelompok yang banyak membuat keputusan dalam hidup berpandukan perkiraan logik akal, golongan remaja ini terdorong berfikir lebih jauh. Terlintas di fikiran mereka, jika para pemimpin yang berkuasa mengatakan hukum Islam yang datang dari Tuhan itu tidak sesuai dilaksanakan di zaman ini, bermakna Tuhan yang menciptakan hukum itu juga tidak sesuai disembah dan diagungkan.
  • Lebih meyakinkan lagi mereka ini apabila kenyataan para pemimpin yang kurang asas ilmu agama itu diperakui atau tidak langsung dibantah oleh sebilangan para ulama dan mereka yang dikenali sebagai cendikiawan Islam.
  • Lalu mereka ini membesar dan membentuk kematangan hidup dalam suasana tidak ada keyakinan terhadap hukum dan peraturan Tuhan. Apabila keagungan hukum suci itu pun sudah tidak dipahat di hati, maka apatah lagi hukum dan undang-undang ciptaan manusia?
  • Logiknya, jika hukum Tuhan pun mereka tidak rasa apa-apa untuk permainkan, maka apakah kita boleh harap mereka akan merasa gerun dan takut untuk melanggar hukum dan undang-undang manusia? Akibatnya, mereka tidak akan takut untuk rasuah, salahguna kuasa, menyeleweng wang syarikat atau pejabat, menipu dalam perniagaan dan berbagai perbuatan tidak bermoral.
  • Isu ini sebenanya sangat berkait rapat dengan agenda pembinaan generasi masa depan negara. Kita yang telah dewasa kini tidak akan mampu menongkat langit. Kita semakin menua dan dimamah usia. Kanak-kanak dan remaja hari ini lah bakal mengambil alih segala aktiviti penghidupan. Mereka lah yang akan mengisi segenap tahap penggerak masyarakat, bermula daripada pengikut dan pencacai bawahan sehingga ke pemimpin atasan.
  • Maka apakah dengan keperibadian remaja yang ada kini segala kemakmuran dan keamanan yang kita kecapi hari ini mampu dikekalkan hingga ke masa depan? Lebih membimbangkan lagi, apakah peribadi-peribadi yang berkemungkinan bakal mengambilalih kepimpinan masyarakat sebegitu dapat kita harapkan untuk menjaga agama di masa depan?
  • Timbunan kes-kes salah laku sosial, jenayah berat dan keganasan seksual membabitkan remaja yang terhidang di media saban hari kebelakangan sebenarnya mengisyaratkan hakikat amat menakutkan tentang masa depan negara.
  • Sepertimana digambarkan hasil kajian IPPBM tadi, jika kecenderungan itu dibiarkan berterusan dan peratusan mereka yang terlibat dengan seks bebas di kalangan generasi akan datang kekal melebihi 50 peratus, maka dapat kita congak apa hakikat yang bakal dihadapi negara kita 30 atau 40 tahun nanti.
  • Tatkala para remaja yang separuh mereka terdiri daripada bekasan penzina ini menjadi warga paling tua dalam masyarakat, dan tabiat buruk mereka turut sama dilalui ibubapa segenap lapisan umur selepas mereka, maka sudah tentu ketika itu kesemua yang bergelar anak atau cucu kepada mereka adalah beribubapa atau berdatuk-nenekkkan manusia yang ada rekod akviti seks luar nikah.
  • Alangkah malunya muka dan walangnya hati apabila dikatakan pada ketika itu separuh daripada jumlah rakyat Malaysia adalah dari keturunan bekas penzina! Mohon dijauhkan Allah dari hakikat itu.
  • Justeru, mengapa tidak kita beri peluang kepada hukum Islam memperbetulkan keadaan dan menyelamatkan negara dari kemungkinan menakutkan itu?
Mohd Nasir Awang (Pengarang Majalah Dian)

‘Review’ Persoalan Hukum Hudud – Ust Zaharuddin

Kuliah Jom Laksana Hudud – Ustaz Azhar Idrus

 

 

 

 

 

 

 

10 Masjid Tertua Di Dunia

 1. Quba Mosque – Saudi Arabia – First Built: 622
 2. Al-Masjid al-Nabawi – Saudi Arabia – First Built: 622
 3. Masjid al-Qiblatain – Saudi Arabia – First Built: 623
 4. Jawatha Mosque – Saudi Arabia – First Built: 629

 5. Masjid al-Haram – Saudi Arabia – First Built: 638
 6. Great Mosque of Kufa – Iraq – First Built: 639
 7. Mosque of Uqba – Tunisia – First Built: 670
 8. Imam Hussain Mosque – Iraq – First Built: 680
 9. Al-Aqsa Mosque – Jerusalem – First Built: 705
 10. Al-Zaytuna Mosque – Tunisia – First Built: 709