Archive for the ‘Pesanan Untuk Pejuang’ Category

Peta Lokasi BERSIH 3.0

Advertisements

Tuan Guru Musyidul Am PAS : Hadir BERSIH 3.0 Adalah Wajib!!


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hadir ke perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini wajib kerana ia diadakan untuk menentang ketidakadilan proses pilihan raya yang tidak selari dengan Islam.

“Mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang,” ujarnya kepada akhbar rasmi PAS Harakah di pejabatnya di Kota Bharu.

Setiausaha akhbar kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkata, pemimpin nombor satu dalam parti Islam itu akan turun bersama dalam perhimpunan pada Sabtu ini.

Malah, kata Nasaie Ismail, PAS juga telah mengeluarkan arahan kepada semua ahli untuk turun beramai-ramai ke himpunan tersebut.

Mengulas soal pengundi hantu, yang termasuk dalam tuntutan BERSIH, Nik Aziz berkata ia jelas perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam.

“Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang dan mentadbir negara akan melakukan sebagaimana BN buat sekarang, setuju atau tidak sekiranya kami bawa pengundi hantu untuk kekal mentadbir negara pada pilihanraya berikutnya.

“Tentu saja Umno dan BN tidak mahu sebab perkara ini perbuatan mungkar yang tentu saja berdosa besar bila melakukanya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Kemenangan ‘haram’

Justeru, tambahnya ‘wajib’ rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai menjayakan BERSIH 3.0 untuk menentang pengundi hantu di samping menuntut tujuh perkara lain.

Beliau seterusnya memberitahu, sekiranya wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya itu kerana dibantu oleh pengundi hantu, kemenangannya ‘haram’ di sisi Islam.

“Malah segala elaun bulanan atau segala bentuk yang diperolehi sebagai wakil rakyat, gaji, kereta dan semuanya haram serta tidak sah di sisi Islam.

“Perkara ini bukan perkara main-main dan kena ingat Allah dan balasan akhirat,” ujarnya lagi.

Bila Hati Dah Keras.. Buat Dosa Dah Tak Terasa..

(kata-kata muhasabah buat renungan bersama)

  • Dalam Surah Al-Maidah ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud, “Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara birr dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.”
  • Kalimah “birr dan taqwa” mempunyai maksud tertentu. Dalam kitab al-Asas fit Tafsir disebutkan “Birr ialah melakukan kebaikan dan taqwa bermaksud meninggalkan segala kemungkaran dan dosa.”
  • Jika menurut Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitab Usul ad-Dakwah, secara ringkasnya, ayat tersebut adalah dalil kewajipan mewujudkan organisasi malah wajib dilaksanakan dakwah melaluinya apabila hasil tidak tercapai melainkan dengannya.
  • Ini mungkin dikuatkan lagi dengan ayat 4 surah As-Saff. Sahabat-sahabat boleh rujuk sendiri tafsir ayat ini. Imam Qatadah juga ada memberikan pandangan berhubung ayat ini. Secara ringkasnya, yang mana dinyatakan kiasan Allah yang tidak menyukai perintahNya dilaksanakan dengan tidak teratur. Allah memerintahkan agar saf di medan perjuangan berada dalam keadaan yang tersusun rapi sebagaimana tersusunnya saf semasa solat berjamaah.
  • As-Syahid Syed Qutb dalam Fi Zilalil Quran, “Yang dituntut bukanlah semata-mata berjuang, TETAPI berjuang atas landasan dan berjuang dalam saf bersama-sama dengan jamaah Islam”
  • As-Syeikh Said Hawa di dalam kitab Madkhal Ila Dakwah Al-Ikhwan al-Muslimin (Pengenalan Dakwah Ikhwan Muslimin) berkata, “Zaman kita sekarang adalah zaman lahirnya penyeru-penyeru di pintu neraka. Sabda Nabi sallahu a’laihi wasallam, “Berpeganglah dengan jamaah Islam dan imam (pemimpin) mereka.” Hadis ini menuntut kita beriltizam dengan jamaah Islam dan pimpinannya.”
  • Muhasabah diri kita pula. Islam membangun daulah di atas prinsip iman. Iman adalah tapak dalam membangun sebuah peradaban. Semakin kuat iman itu mengakar, semakin kuat daulah itu berdiri. Ia ibarat seperti sebatang pokok, semakin dalam akar itu menjalar ke dasar bumi, semakin tinggi batang pokok itu meninggalkan bumi. Asas inilah yang membawa Daulah Islamiyyah ke mercu kejayaannya yang sangat gemilang berabad-abad lamanya suatu ketika dahulu.
  • Islam memandang bahawa pembentukan Daulah Islamiyyah merupakan suatu kewajipan yang asasi, juga kewajipan agama dan kehidupan. Ia bukan disebabkan oleh perasaan ‘gila kuasa’ atau loba dengan kesenangan dunia sehingga menilai rendah terhadap hak asasi manusia dan merampas harta benda mereka di sebalik nama cukai, GST, dan sebagainya.
  • Malah Syeikh al-Maududi, pengasas Jami’at Islami Pakistan menyebut di dalam tafsirnya bahawa kemuncak di sebalik penurunan al-Quran adalah demi menuju sebuah pembentukan Daulah Islamiyyah.
  • Runtuhnya Daulah Islamiyyah, maka runtuhlah perlaksanaan Islam yang syumul. Maka apa yang tinggal hanyalah perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah dan munakahat, sedangkan Islam tidak pernah memperincikan penilaian ad-Deen itu kepada semata-mata ibadah, akhlak dan munakahat tetapi ia lebih luas berfungsi menaungi pola kehidupan manusia seluruhnya.
  • Justeru itu, walaupun ia melibatkan soal daulah Islam, persoalan agama dan persoalan yang mungkin ianya dipandang mudah sesetengah orang seperti persoalan dosa dan pahala, ianya tidak boleh diketepikan sama sekali.
  • Sebagai contoh, sebelum kedatangan Islam, masyarakat arab jahiliyyah hidup di dalam kegelapan dan kesesatan. Mereka menjadi bangsa yang hina di tengah-tengah kuasa besar Rom dan Parsi yang berkuasa pada saat itu. Mereka melakukan kezaliman dan penindasan yang tiada taranya kepada golongan kelas rendah, hamba sahaya, golongan kasta serta para wanita.
  • Mereka sewenang-wenangnya membunuh anak-anak perempuan mereka dan menjadikan mereka dan isteri-isteri mereka sebagai barang tukaran untuk memuaskan nafsu kebinatangan mereka dengan pelbagai bentuk pernikahan yang batil. Hidup mereka dipenuhi dosa. Hati mereka keras.
  • Lalu Islam datang dengan membawa islah melalui risalah Nabi Muhammad SAW. Memahami pengertian Islam yg sebenar, menegakkan keadilan dan memerangi kezaliman merupakan intipati utama yang diperjuangkan.
  • Di samping menyeru umat manusia agar mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagai sebenar-benar Tuhan yang selayaknya disembah, Nabi Muhammad SAW juga menyeru mereka agar berlaku adil dan memerangi kezaliman. Baginda adalah penyeru keadilan sosial dan keadilan sejagat, melampaui soal etnik, qabilah, keturunan & geografi. Allah SWT berfirman:
لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ
“Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan”
  • Adakah kita mampu menyambung usaha mulia Nabi Muhammad SAW?? Bina daulah Islamiyyah dalam dirimu, insyaAllah akan terbina daulah Islamiyyah dengan kehendakNya. InsyaAllah.
Semoga bermanfaat, buat muhasabah kita bersama..
~pesanan untuk pejuang~

Kemelut Di Kedah : Biduk Lalu Kiambang Bertaut

Bismillahirrahmaanirrahim..

1. Saya merakamkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT di atas penyelesaian yang telah berlaku di Kedah setelah melalui kemelut dalam isu perlantikan exco baru-baru ini. Kesediaan kedua-dua orang exco untuk menggalas tugas yang sebelum ini enggan menerima jawatan mereka saya kira merupakan satu titik noktah terhadap krisis yang melanda PAS Kedah ini.

2. Saya minta kepada semua pendokong perjuangan Islam agar dapat bangun pada malam ini untuk menunaikan qiyamullail dan mendirikan solat tanda syukur kepada Allah SWT terhadap penyelesaian yang sungguh bermakna ini.

3. Kemelut ini saya kira sungguh istimewa, yang biasa didengar khususnya berlaku dalam kelompok sekular ialah pihak-pihak bertelagah kerana inginkan jawatan, tapi di Kedah, kemelut berlaku apabila ada pihak yang menolak jawatan. Di dalam silibus pengajian sekular, jawatan ialah lubuk untuk mencari kekayaan, membina empayar perniagaan dan pengaruh, justeru mana mungkin ia boleh ditolak begitu sahaja. Bahkan jika terbukti melakukan penyelwengan sekalipun, masih enggan untuk meletakkan jawatan!

4. Saya simpati terhadap ‘tupai-tupai’ yang melompat keseronokan ketika kemelut ini berputik kerana mereka menjangka akan dapat ‘menikmati buahnya’. Sayangnya, putik tidak menjadi masak, tupai pula jatuh kehampaan.

5. Alhamdulillah, inilah kaedah PAS melakukan penyelesaian. Krisis boleh ditangani dengan pertemuan dan mendengar luahan semua pihak. Di Kelantan, pernah beraku krisis melibatkan pertembungan antara Menteri Besar dan wakil rakyat kerajaan iaitu pada tahun 1978, jalan yang diambil bukannya perbincangan dan pertemuan, tetapi MAGERAN yang menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan pada masa itu. Berbezanya antara dua penyelesaian membuktikan berbezanya dasar yang digunakan, satu dasar Islam dan satu lagi dasar sekular!

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 15 Rabiul Akhir 1423H bersamaan 8 Mac 2012M

Mendaulatkan Hukum Islam Tanggungjawab Setiap Muslim

 

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

Renungan :

“Barang siapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) 10 kali lipat amalannya, dan barang siapa yang membawa perbuatan yang jahat, maka dia diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan).” (QS. Al-An’am: 160)
************
Sempena memperingati hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. (Maulidur Rasul) pada Ahad, 12 Rabiulawal 1433 Hijrah (5 Februari 2012) ini, sukacita kita mengingatkan bahawa setiap Muslim adalah wajib untuk mempunyai niat atau cita-cita menegakkan hukum-hakam Islam.

Dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah apabila diadili di Mahsyar nanti. Bagaimanapun niat saja tidak mencukupi.

Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Pemimpin dengan kaedah berpolitiknya, ustaz dengan kelas pengajiannya, penulis dengan tulisannya dan yang penting mesti ada jemaah yang berjuang ke arah itu.

Marilah kita berdoa semoga semua Muslim terutama pembesar dan pemimpin negara dibukakan hati untuk berusaha keras ke arah melaksanakan hukum-hakam Islam. Marilah kita berdoa supaya pemimpin kita terbuka hatinya untuk menjalankan hukum-hakam Islam.

Beberapa tahun lalu pemimpin negara sudah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. Malangnya perisytiharan itu tidak disertai dengan pelaksanakan hukum-hakam Islam.

Apabila ini berlaku kita amat bimbang Allah akan menjatuhkan hukuman ke atas pemimpin berkenaan dan diri kita di dunia lagi. Sama seperti mengatakan negara ini negara Islam tetapi tidak melaksanakan hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran. Ingatlah, bala akan terkena semua orang – yang beriman dan tidak beriman.

Tidak lama dulu pemimpin kerajaan bertindak mengumpulkan imam-imam dan pegawai masjid dan kemudian meminta mereka memberikan pandangan bagaimana hendak menangani jenayah rogol, bunuh, zina dan sebagainya yang semakin menjadi-jadi.

Bukankah jalan penyelesaian sudah ada dalam al-Quran. Panduannya sudah diberikan oleh Allah, kenapa manusia pula pandai-pandai mahu mencari jalan keluar? Tidak mahukan hukum-hakam Allah bermakna tidak takutkan Allah. Jika seseorang atau negara tidak melaksanakan hukum Allah bermakna dia lebih berkuasa daripada Allah, sebab dia mampu tolak perintah Allah.

Apabila pemimpin menyatakan Malaysia sebuah negara Islam tapi tidak melaksanakan hukum-hakam Islam, amat-amatilah apa yang akan berlaku. Misalnya, Amerika sudah mengintip-intip untuk menghebatkan cengkamannya, orang Islam yang taat dicop sebagai pengganas dan dihumbankan dalam penjara tanpa bicara manakala masyarakat menjadi huru-hara dengan kes jenayah yang tidak berkesudahan.

Jika benar Umno hendak menegakkan hukum-hakam Islam, buatlah sekarang sebab parti berkenaan sudah diberi kepercayaan besar oleh rakyat. Kalau tak buat, kita bimbang Umno memang tidak hendak Islam berkuasa. Ini kerana sudah lebih 50 tahun Umno menguasai kerajaan. Kalau dalam tempoh selama itu tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam, kita mahu tunggu berapa lama lagi… 500 tahun?

 

PAS Dan PRU 13: Satu Gagasan Bagi Mencapai Kemenangan

Oleh WAN ABD RAHMAN WAN AB LATIF

Pengenalan

Dalam keterujaan ahli PAS menghadapi muktamar ke-57 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Jun 2011 yang lalu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang awal-awal lagi mengingatkan para perwakilan peranan penting mereka iaitu di samping memilih saf kepimpinan baharu yang mantap, mereka juga diseru agar memberi perhatian yang serius berkaitan merencana strategi yang berkesan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang hampir tiba.

Berlatarbelakangkan situasi ini, tulisan ini akan mengemukakan beberapa gagasan umum berkaitan dengan pilihan raya yang seharusnya menjadi pegangan dan panduan kepada para petugas PAS. Dengan adanya gagasan umum ini ia dapat meluruskan sikap petugas PAS dalam pilihan raya iaitu pertama melihat kerja-kerja pilihan raya sebagai satu amal saleh dalam usaha kita mencari keredaan Allah.

Sekiranya pandangan ini benar-benar dapat ditasdiqkan dalam hati dan dibuktikan dalam perbuatan berlandaskan keikhlasan pada Allah, kita telah pun memperoleh kemenangan di pusingan pertama. Seterusnya, sekiranya Allah mengizinkan kita memenangi kerusi (parlimen atau Dewan Undangan Negeri) maka kita telah meraih kemenangan berganda.

Gagasan umum yang akan dikemukakan sudah semestinya bersumberkan al-Quran, kitab rujukan terpenting umat Islam.

Al-Quran dan Pilihan Raya

Al-Quran yang datangnya dari Allah merupakan petunjuk untuk memandu manusia dalam kepelbagaian aktiviti kehidupannya, termasuk berpartisipasi dalam proses pilihan raya. Bagi memenuhi perbincangan ringkas ini, paling tidak terdapat empat ayat al-Quran yang boleh dikaitkan dengan pilihan raya. Ayat pertama adalah dari Surah al-Baqarah ayat 251 apabila Allah Berfirman (mafhumnya): “ …seandainya Allah tidak menolak (kezaliman) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini… .” Mafhum ini merupakan kesimpulan dari ayat yang lebih panjang yang menceritakan tentang kemenangan Nabi Allah Daud menentang Jalut yang zalim.

Kemenangan akan berpihak kepada mereka yang berjuang untuk menegakkan keadilan Allah. Ini janji Allah. Rujukan al-Quran kepada “sebahagian manusia” dalam ayat di atas boleh juga merujuk kepada “sebuah parti politik” dalam sistem demokrasi; dan penolakan (atau persaingan) adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia, termasuklah persaingan semasa pilihan raya.

Ayat kedua merujuk kepada Surah al-Maidah ayat 35. Dalam ayat ini Allah Berfirman, mafhumnya “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Allah; dan berjihadlah kamu di atas jalanNya; dan dengan itu kamu akan memperolehi kemenangan.” Ayat ini seperti ayat-ayat lain dalam al-Quran, bersifat “berantai” dan “dua hala” yang memperlihatkan dinamisme ajaran Islam itu sendiri. Ayat ini memberitahu kita bahawa sifat orang beriman ialah bertaqwa kepada Allah. Sifat taqwa ini dapat direalisasikan secara praktikal dengan mencari jalan yang boleh mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Jalan atau wasilah atau platform dan sebagainya boleh merujuk kepada “parti politik” yang berlandaskan perjuangannya kepada Islam. Sesudah berada di atas landasan gerakan Islam seperti PAS, maka ahli-ahlinya (terdiri dari mereka yang beriman) hendaklah bekerja untuk parti secara aktif (berjihad di jalan Allah); dan dengan cara ini perjuangan PAS (seperti dalam pilihan raya) akan diberi kemenangan oleh Allah.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa berada dalam jamaah Islamiyah seperti PAS dan berjihad bersamanya merupakan syarat kepada kesempurnaan iman itu sendiri. Akhirnya, ayat ketiga adalah dari Surah as-Saff, ayat empat. Ayat ini adalah ayat yang popular yang selalu dirujuk oleh petugas-petugas PAS. Dalam ayat ini Allah berfirman mafhumnya: “Allah amat kasih kepada mereka yang berjuang di atas jalanNya dalam satu barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh.”

Ayat ini merujuk kepada pentingnya jentera peperangan (pilihan raya) disusun secara rapi, seperti rapinya sebuah bangunan. Sebuah bangunan rumah perlu ada pintu, jendela, tangga, bilik tidur, dapur dan sebagainya. Ini seumpama merujuk kepada jentera pilihan raya yang mempunyai pelbagai peranan; yang penting ia mesti tersusun rapi dan bantu membantu di antara satu sama lain. Rumah yang dibina dengan batu bata yang tersusun rapi sudah semestinya merupakan sebuah rumah yang kukuh yang tidak akan tumbang dibadai angin ribut pilihan raya.

Secara kesimpulannya, mesej daripada ketiga-tiga ayat yang dirujuk di atas ialah persaingan (salah satunya dalam konteks pilihan raya) adalah sesuatu yang fitrah dalam kehidupan manusia. Akan senantiasa ada persaingan antara mereka mendukung keadilan dan mereka yang mendukung kezaliman. Allah akan senantiasa bersama mereka yang memperjuangkan keadilan.

Untuk mencapai cita-cita ini, orang-orang beriman hendaklah berada di dalam jamaah Islam seperti PAS dan berjihad bersamanya bagi mencapai kemenangan. Perjuangan jamaah yang mantap khususnya jentera pilihan rayanya diumpamakan sebagai sebuah bangunan yang kukuh yang diikat dengan batu-bata yang memperkukuhkan satu dengan yang lain.

Suasana pilihan raya: Ayat keempat

Ayat keempat dari Al-Quran yang kita akan rujuk lebih bersifat peranan petugas-petugas PAS semasa pilihan raya itu sendiri. Ayat yang dimaksudkan adalah dari Surah al-Anfaal ayat 60. Dalam ayat ini Allah Berfirman, mafhumnya: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu sanggupi dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk berperang, untuk menggerunkan (dengan persiapan sedemikian) musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain yang kamu tidak ketahui, sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak dianiaya (dirugikan).”

Sekiranya ayat di atas dikaitkan dengan pilihan raya maka intisari dari ayat di atas juga boleh dilihat sebagai merupakan prasyarat kemenangan. Antara tuntutan Allah ke atas petugas parti adalah: Pertama, dalam menghadapi lawan petugas parti mesti memberi sumbangan yang maksima berdasarkan kemampuan (atau peranan) yang berbeza-beza. Ini konsisten dengan saranan Allah bahawa Allah tidak akan membebankan hambaNya (dalam menjalankan tugas mereka menegakkan syariat Allah) lebih dari kemampuan mereka. Allah lebih tahu batas-batas kemampuan hamba-hambaNya kerana manusia adalah makhluk ciptaan Allah.

Dalam hal ini, formula yang harus dipakai oleh petugas-petugas parti ialah “kemampuan sumbangan” adalah berdasarkan jawatan yang disandang: Lebih tinggi jawatan yang disandang maka lebih tingga sumbangan yang perlu diberi kepada parti. Sebagai contoh, sumbangan presiden adalah 100 peratus, pesuruhjaya negeri adalah 70 peratus, ketua kawasan ialah 50 peratus, ketua cawangan 20 peratus dan ahli biasa 10 peratus.

Berdasarkan prinsip “memaksima sumbangan berdasarkan kemampuan yang berbeza-beza,” maka untuk mencapai kemenangan presiden mesti sumbang paling minima 80 peratus ( 80 daripada 100 memperoleh markah “A”), pesuruhjaya negeri 60 peratus, ketua kawasan 40 peratus, ketua cawangan 15 peratus dan akhirnya ahli biasa 8 peratus. Sumbangan ini berupa wang ringgit dan jiwa raga. Kedua-dua bentuk sumbangan ini hendaklah disumbang secara serentak. Sekiranya pemimpin atau ahli berkenaan kurang dari segi kewangan maka sumbangan dari segi tenaga hendaklah dilebihkan. Begitulah sebaliknya.

Perkara kedua yang dituntut ialah menyediakan “pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk berperang.” Dalam konteks semasa ini merujuk kepada petugas-petugas parti yang telah dibekalkan dengan ilmu pilihan raya yang lengkap. Mereka faham dari segi teori dan praktis berhubung dengan peraturan dan akta pilihan raya. Mereka faham apa yang harus mereka lakukan dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Berbekalkan ilmu pilihan raya, maka petugas parti dapat menggubal strategi dan taktik bagi berhadapan dengan lawan.

Misalnya, semasa pengundian dijalankan petugas parti akan senantiasa peka terhadap suasana di tempat mengundi. Sekiranya berdasarkan nombor kad pengenalan, pengundi yang berdiri dilihat lebih tua atau muda dari yang sepatutnya, maka petugas parti tidak akan ragu-ragu untuk memprotes kehadiran dan keabsahan pengundi tersebut.

Perkara ketiga, dengan menguasai ilmu pilihan raya secara teori dan praktik, ini dapat “menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu.” Ini terbukti benar kerana kekuatan sesebuah organisasi seperti parti PAS amat bergantung kepada asas teori dan praktik yang relevan sebagai landasannya. Ini boleh memperkuatkan parti sekaligus menggerunkan musuh. Ada satu lagi perkara yang boleh menggerunkan musuh. Ini ada pada Nabi dan ada pada sahabat iaitu kekuatan ruhiyyah. Kekuatan ruhiyyah sebagai senjata yang menggerunkan musuh muncul apabila hamba Allah amat hampir dengan Allah.

Ini perlu dilihat sebagai keutamaan dalam kehidupan seorang petugas parti. Kemenangan Rasulullah S.A.W. apabila berdepan dengan musuh dalam peperangan (dalam konteks kita pilihan raya) banyak bergantung kepada faktor ini. Dalam sejarah Islam model Rasulullah S.A.W. ini diikuti dengan jayanya oleh sahabat empat (khalifah ar-Rashidun), dan Umar Abd. Aziz, Salahuddin al-Ayubi, Mohammad al-Fatih dan kedua orang Tuan Guru kita (presiden dan mursyidul am).

Perkara keempat, semasa pilihan raya berlangsung petugas parti bukan berdepan dengan parti lawan sahaja tetapi seluruh jentera atau agensi kerajaan yang besar kemungkinan petugas parti tidak dapat mengenalpastinya dengan secara yang tepat. Al-Anfaal ayat 60 merujuk fenomena ini sebagai “musuh-musuh lain yang kamu tidak ketahui, sedang Allah mengetahuinya.” Sekali lagi dalam konteks ini hubungan yang rapat dengan Allah adalah penting bagi meraih kemenangan.

Perkara yang kelima, semasa pilihan raya (dan juga di luar musim pilihan raya) petugas parti perlu infaq fi sabilillah untuk parti. Sungguhpun aspek kekuatan ruhiyyah adalah perkara yang pertama dan utama tetapi aspek kewangan juga perlu untuk menggerakkan parti. Dalam hal ini dan selari dengan tuntutan al-Quran orang yang pertama yang perlu menyumbang (dalam konteks kewangan) adalah petugas parti itu sendiri. Terdapat di kalangan kita yang amat bersemangat, belum apa-apa sudah bertakbir, tetapi apabila “kopiah bergerak” satu sen pun dia tidak menderma kepada parti!

Allah tidak hendak tengok berapa banyak kita menderma tetapi keikhlasan kita menderma untuk partiNya, walaupun satu sen. Dalam hal ini al-Anfaal, ayat 60 menegaskan: “Apa saja kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu.” Dalam kes-kes menderma kepada parti, kita amat terharu mendengar cerita atau kisah benar yang berlaku kepada ahli-ahli PAS terutama di Kelantan dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an. Ahli biasa PAS begitu komited dan sayang kepada PAS. Terdapat ahli-ahli biasa PAS di kampung-kampung yang menghulur bantuan yang amat bermakna kepada PAS. Kita dengar cerita seorang penoreh getah yang memperolehi tiga keping getah sehari dan beliau menderma satu keping untuk PAS! Kita juga dengar cerita terdapat penanam padi yang pada satu musim memperolehi hasil lima guni padi dan satu guni diinfaqkan kepada PAS! Apakah masih ada dalam PAS sekarang ahli-ahli yang begitu komited dan sayang pada PAS? Tepuk dada tanya iman!

Persiapan kuda-kuda untuk berperang: Pentingnya jentera

Secara yang lebih spesifik, terkini jentera parti perlu menfokuskan kepada tiga kerja penting: Penambahan ahli baharu sehingga mencapai sasaran kemenangan, peningkatan kepakaran (berkaitan peraturan dan akta pilihan raya) dan pengukuhan kewangan. Ketiga-tiga perkara ini telah pun disentuh secara ringkas dalam perbincangan di atas. Dari sudut kewangan, sebagaimana yang telah ditetapkan setiap unit peti undi perlu mempunyai tabung sebanyak RM5000.

Dalam kes penambahan ahli baharu kita rujuk kepada negeri Perak sebagai contuh. Pada tahun 2008 jumlah penduduk negeri Perak adalah 2,351,300 orang. Daripada 2 juta lebih penduduk negeri Perak ini, 1,183,316 telah mendaftar sebagai pemilih. Berdasarkan kelayakan (umur 21 tahun ke atas), jumlah pengundi sepatutnya berjumlah 1,410,780. Ini bermakna mereka yang layak tetapi belum mendaftar ialah seramai 227,464.

PAS Perak perlu berusaha untuk mendaftar pengundi yang layak tetapi belum mendaftar ini iaitu di peringkat minima (33 peratus) iaitu seramai 75,063 dan di peringkat maksima (66 peratus) iaitu seramai 150,126 pengundi. Dalam konteks pendaftaran pemilih baharu, tumpuan perlu diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh Unit Pendaftaran Pemilih (UPP) dan Program Gerakan Pendaftaran Pemilih (PGPP) peringkat Dun.

Persiapan-persiapan lain yang relevan bagi menghadapi pilihan raya ialah peralatan yang mencukupi seperti komputer dan kedudukan strategik bilik-bilik gerakan Majlis Tindakan Dun dan UPU. Jangan dilupakan program-program munajat yang perlu diadakan secara kerap khususnya selepas pembubaran dewan sehinggalah keputusan pilihan raya diumumkan.

Kesimpulan

Secara umumnya pilihan raya adalah berkaitan dengan keupayaan satu-satu parti politik yang bertanding dengan menggunakan isu-isu yang dikira penting, manifesto yang menyakinkan dan tawaran-tawaran lain yang boleh memikat pengundi. Dalam hal ini, parti-parti bertanding cuba untuk memenangi hati dan fikiran pengundi. Islam melihat peranan hati sebagai anggota tubuh manusia yang paling penting kerana hati merupakan pusat kepada pelakuan manusia (termasuk pelakuan politik semasa pilihan raya); dan hanya Allah yang boleh menenangkan hati manusia yang berbolak-balik (terutamanya apabila berdepan dengan umpan-umpan pilihan raya) dan kepada Allahlah petugas-petugas pilihan raya PAS perlu rujuk bagi mendapat hidayah, pertolongan dan seterusnya kemenangan.

Dr Wan Abdul Rahman Wan Ab Latif ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS.

Bekerja Seperti Pilihanraya Minggu Ini

GOMBAK, 30 Okt: Ijtima’ Tarbawi 2011, Dewan Pemuda PAS Pusat yang berakhir petang tadi melabuhkan tirainya dengan satu komitmen untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya.

Bercakap selepas menyampaikan ucapan penutup petang tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan berkata, anggota dewan itu hari ini pulang dengan semangat berkobar-kobar untuk berkerja seperti ‘pilihan raya minggu ini’.

“Apa yang kita dapat dari ijtimak ini akan diteruskan bila balik ke kawasan masing-masing.

“Jentera pemuda akan fokuskan gerak kerja pilihan raya seolah-olah pilihan raya akan dilaksanakan minggu ini. Kita kena ‘all out’,” katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, kira-kira 6,000 peserta dari seluruh negeri hadir ke ijtimak kali ini.

Mereka berkampung di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad selama tiga hari sejak Jumaat lalu dengan pelbagai pengisian tarbiah diatur penganjur.

Selain pemimpin utama PAS, peserta juga didedahkan dengan pengalaman jemaah Islam luar negara seperti oleh wakil Hamas dari Palestin dan wakil Ikhwanul Muslimin dari Mesir.

Menyifatkan ianya sebagai mencapai sasaran, Nasruddin berkata ianya akan dijadikan acara tahunan dewan itu.

“Ijtimak ini adalah untuk membentuk pelapis di kalangan pemuda yang utuh prinsip perjuangan Islamnya.

“Kita anggarkan cecah 6,000 yang hadir kali ini sekaligus mencatat sejarah paling ramai berbanding tahun lepas,” katanya.

Untuk rekod, Ijtimak Tarbawi kali pertama tahun lalu diadakan di Terengganu.